KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyambut baik Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan perutukan berjumlah RM11.96 bilion diberikan kepada kementerian tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut bertambah sebanyak RM405.27 juta atau 3.51 peratus berbanding tahun 2024.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, jumlah tersebut merangkumi RM4.47 bilion peruntukan dan RM7.49 bilion bagi pembangunan yang mana kedua-duanya menunjukkan pertambahan.
Menurutnya, peruntukan bagi pengurusan bertambah sebanyak RM350.06 juta atau 8.51 peratus manakala bagi pembangunan pula meningkat sebanyak RN55.21 juta atau 0.74 peratus berbanding 2024.
Berikut kenyataan penuh Zahid berhubung Belanjawan 2025 bagi KKDW:
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyambut baik dan amat menghargai inisiatif-inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 bertemakan Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat.
Belanjawan 2025 ini mempamerkan tekad dan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara.
Belanjawan 2025 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM421 bilion ini merupakan kesinambungan untuk merealisasikan dasar Kerangka Ekonomi MADANI dengan tumpuan mempercepatkan reformasi ekonomi dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.
KKDW merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri untuk peruntukan berjumlah RM11.96 bilion kepada KKDW yang menunjukkan peningkatan sebanyak RM405.27 juta atau 3.51% berbanding tahun 2024.
Jumlah ini merangkumi RM4.47 bilion peruntukan mengurus (peningkatan sebanyak RM350.06 juta bersamaan 8.51%) dan juga RM7.49 bilion peruntukan pembangunan (peningkatan sebanyak RM55.21 juta atau 0.74%).
Peruntukan yang diberikan ini menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar yang akan memberi manfaat kepada 8.1 juta penduduk desa.
Menerusi peruntukan yang diterima ini akan dapat menjamin kesinambungan projek sedia ada dan juga meningkatkan pelaksanaan projek pembangunan di desa termasuk di kawasan pedalaman, bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi ekonomi, modal insan, sahsiah dan spiritual.
Peruntukan ini juga dapat menyokong usaha berterusan KKDW untuk mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera dan makmur seperti yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.
Dalam usaha merapatkan jurang pembangunan bandar-luar bandar, KKDW telah menerima peruntukan sebanyak RM2.9 bilion bagi pembangunan dan menaiktaraf infrastruktur asas di luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.8 bilion diperuntukkan untuk Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa melibatkan projek membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa termasuk di Kota Belud, Sabah; Pasir Putih, Kelantan dan Kuala Lipis, Pahang.
Projek bina dan menaiktaraf jambatan uzur serta pemasangan dan selenggara Lampu Jalan Kampung diteruskan melibatkan peruntukan lebih RM350 juta.
Manakala hampir RM500 juta disediakan untuk projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Elektrik Luar Bandar di Sabah dan Sarawak meliputi 5,150 buah rumah.
Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, KKDW amat menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat dengan memperuntukkan sebanyak RM499 juta untuk Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat merangkumi Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK), Program Bina Insan (PBI) dan Program Komuniti Sejahtera (PKS).
Selain itu, Belanjawan 2025 telah meningkatkan peruntukan RISDA, FELCRA Berhad dan FELDA kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun 2024 untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi negara sekaligus meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil.
Di bawah peruntukan ini, sebanyak RM60 juta diberikan kepada RISDA secara geran padanan bagi Program Galakan Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil bagi menggalakkan pekebun kecil getah menghasil getah lateks untuk memenuhi keperluan industri dan seterusnya mengurangkan import lateks negara.
Bagi Program Pemerkasaan TVET, GiatMARA dan Kolej Komuniti disediakan sebanyak RM55 juta untuk tempoh lima tahun yang akan memberi manfaat kepada 10,000 anak-anak huffaz dari institusi Tahfiz dan Pondok dengan latihan kemahiran.
Selain itu, GiatMARA turut menyediakan latihan jangka pendek kepada lebih 3,000 orang pekerja gig bagi membantu meningkatkan kebolehan pekerja serta memberi kerjaya yang lebih terjamin.
Mendokong konsep masyarakat inklusif, sebanyak hampir RM380 juta diperuntukkan untuk meningkatkan taraf hidup dan mempercepat pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli.
Peruntukan ini adalah termasuk pelaksanaan projek pembangunan semula Ladang Orang Asli di seluruh negara.
KKDW komited untuk memastikan peruntukan RM11.96 bilion yang diterima pada tahun 2025 akan dimanfaat sepenuhnya bagi mentransformasi desa-desa di Malaysia dan seterusnya mengangkat martabat rakyat.
KKDW juga akan meneliti pendekatan pelaksanaan program secara bersepadu serta memantapkan proses pemantauan berkala bagi memastikan peruntukan ini dinikmati oleh semua rakyat di desa. – Edisi 9