MALAYSIA bakal menjadi negara perintis dalam pengeluaran ubat-ubatan yang mendapat pensijilan halal menerusi penubuhan Hab Perubatan Halal pertama dunia di negara ini.
Ia hasil kerjasama yang dijalinkan antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan syarikat farmasi dari China, ChemPartner Pharmatech Co., Ltd dan syarikat tempatan, Pharma Medical Sdn. Bhd.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, usaha tersebut bukan sahaja mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang perubatan, tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai perintis dalam pengeluaran ubat-ubatan yang mendapat pensijilan halal.
Beliau berkata, hab tersebut bakal menjadi satu mercu tanda yang menggabungkan kepakaran antarabangsa dan tempatan dalam menghasilkan produk farmaseutikal yang mematuhi standard halal dan membawa manfaat kepada semua.
“Selain itu, usaha ini juga akan membuka banyak peluang dalam bidang penyelidikan, inovasi teknologi dan pertukaran ilmu antara negara,” katanya selepas menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian antara ketiga-tiga pihak di Shanghai, China hari ini.
Zahid berkata, kerjasama itu juga akan membawa kepada pembinaan makmal penyelidikan termaju dalam bidang farmasi di Kampus Kuala Lumpur UKM yang bakal dilengkapi peralatan berteknologi tinggi dari Amerika Syarikat.
Katanya, UKM melalui projek tersebut, akan berperanan lebih aktif dalam menghasilkan inovasi perubatan yang menggunakan pendekatan terkini seperti ‘precision medicine‘ serta terus melangkah ke hadapan dalam bidang bioteknologi.
“Saya amat teruja melihat bagaimana kerjasama ini akan memberi impak kepada masyarakat kita, bukan sahaja dalam menyediakan ubat-ubatan halal yang berkualiti, tetapi juga dalam memperkasakan ekonomi negara.
“Dengan sokongan semua pihak, saya yakin Hab Perubatan Halal ini akan menjadi model contoh bagi negara-negara lain sekaligus menjadikan Malaysia pusat rujukan dunia dalam bidang farmaseutikal halal,” katanya. – Edisi 9