DEWAN Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) menyambut baik cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan menu babi dan alkohol untuk memiliki sijil halal.
Presidennya, Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, cadangan tersebut merupakan satu usaha sangat murni dan secara langsung dapat meningkatkan bilangan capaian sumber halal yang lebih meluas.
Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu perlu diperhalusi sebaik-baiknya memandangkan terdapat kira-kira 1.1 juta perniagaan berstatus mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan puratanya kategori mikro dan kecil.
“Dalam hal ini, DPIM ingin mencadangkan agar sesi libat urus diadakan bersama pemegang-pemegang taruh industri halal bagi mendapatkan lebih banyak pandangan dan maklum balas yang mana boleh membantu pihak Jakim serta lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengkaji cadangan ini.
“DPIM juga berpandangan bahawa pelaksanaan mewajibkan pensijilan halal ini boleh dibuat secara berperingkat seperti mana pendekatan yang diambil oleh negara jiran kita Indonesia yang telah mewajibkan pensijilan halal ke atas semua produk keluaran mikro,kecil dan sederhana mereka bermula Oktober 2024 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, Mohammad Sahar berkata, penting usaha-usaha dilakukan untuk menaik taraf tahap perniagaan usahawan khususnya dari status mikro ke kecil dan ke tahap seterusnya dipergiatkan.
Beliau berkata, langkah itu boleh dilakukan melalui pelbagai program yang bersifat komprehensif dan tidak silo di antara agensi-agensi kerajaan.
Katanya, ini secara langsungnya akan dapat meningkat keupayaan sesebuah perniagaan itu dan seterusnya mampu dan mudah untuk mematuhi aspek-aspek pematuhan pensijilan halal yang telah ditetapkan.
“DPIM yakin dengan pelaksanaan pensijilan halal yg meluas dalam kalangan semua jenis usahawan yang berkaitan secara langsungnya bukan hanya akan memberikan capaian jaminan halal yang lebih meluas kepada umat islam malah akan dapat meningkatkan bilangan pemain industri halal bukan hanya di peringkat domestik malah di peringkat global.
“Sudah pasti ianya akan menaikkan lagi imej negara bukan hanya sekadar mempunyai standard pematuhan halal yang terbaik dan dicontohi pada masa ini malah disegani kerana turut mempunyai syarikat berstatus halal yang berdaya saing tinggi,”katanya. – Edisi 9