KERAJAAN Malaysia sentiasa memudahkan cara dan mencari kaedah terbaik serta pantas dalam menyelesaikan mana-mana masalah dihadapi pelabur di negara ini.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas menerima kunjungan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Micron Technology Inc. (Micron), Datuk Sanjay Mehrotra di Putrajaya, semalam.
Anwar berkata, Micron merupakan syarikat peneraju dalam penyelesaian memori inovatif yang mengubah cara dunia menggunakan maklumat dan berpengkalan di Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, dalam pertemuan tersebut, mereka bertukar pandangan mengenai keperluan-keperluan utama dalam pembangunan industri semikonduktor di Malaysia.
“Turut disentuh adalah kepentingan pembangunan bakat tempatan serta faktor-faktor yang menyumbang kepada kelancaran operasi kilang-kilang berteknologi tinggi di Malaysia.
“Saya tegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa memudah cara dan mencari kaedah terbaik serta pantas dalam menyelesaikan mana-mana masalah yang dihadapi oleh pelabur,”katanya menerusi Facebook beliau.
Perdana Menteri berkata, Malaysia kini berada dalam kedudukan amat strategik dalam ekosistem semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) global.
Katanya, dalam mengukuhkan daya tarikan negara dalam pelbagai sektor ekonomi, usaha giat dilaksanakan seperti digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.
Sementara itu, ketika menerima kunjungan delegasi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Anwar berkata, mereka berbincang beberapa cadangan terkait inisiatif pembangunan ekonomi mencakupi konsep wakaf dan penggunaan AI.
“Saya hargai cadangan dikemukakan DPIM yang selari dengan hasrat Kerajaan supaya Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 mendapat suntikan idea-idea bernas dan sokongan pelaksanaan daripada pemain industri seperti dewan-dewan perniagaan dan perdagangan,” katanya.
Delegasi DPIM itu diketuai Presidennya, Datuk Mohammad Sahar Mat Din. – Edisi 9