23.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

BHEUU JPM pula sahkan tidak terima Titah Adendum

Mesti Baca

BAHAGIAN Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) mengesahkan tiada sebarang dokuman tambahan atau adendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi berhubung titah tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak.

BHEUU JPM selaku Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi dari pihak Istana Negara berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, BHEUU JPM menegaskan, sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.

“Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.

“BHEUU, JPM sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai Urus Setia dengan penuh integriti, ketelusan, dan profesionalisme selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang sedia ada.

“Segala urusan berkaitan dengan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Advertisements

Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada hari yang sama sepucuk surat yang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan supaya bekas Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi penahanan di rumah tular di media sosial hari ini.

Surat daripada Majis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari lalu itu ditujukan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar dan ditandangani Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Berdasarkan kandungan surat itu, Al-Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui titah adendum bertarih 29 Januari 2024.

Sementara itu BHEUU JPM berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.

Pada masa yang sama, katanya, prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88].

“Semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga tersebut.

“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,”katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa didesak oleh penyokong Najib agar mendedahkan butiran mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari bagi mengesahkan sama ada Titah Adendum wujud atau sebaliknya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan