23 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

PBT wajibkan sijil halal diminta beri penjelasan kepada Jakim

Mesti Baca

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewajibkan pengusaha makanan dan minuman (F&B) di bawah pentadbiran mereka memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) agar memberikan penjelasan tuntas.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang ramai.

Ini kerana menurut beliau, Jakim dan majlis agama Islam negeri (MAIN) atau jabatan agama Islam negeri (JAIM) kekal dengan dengan keputusan bahawa permohonan SPHM adalah bersifat sukarela.

“Berhubung dengan tindakan PBT yang mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman memiliki SPHM adalah antara usaha promosi bagi meningkatkan bilangan pemegang SPHM di bawah pentadbiran PBT berkenaan.

“Dalam masa yang sama JAKIM berharap agar penjelasan yang tuntas dan menyeluruh dapat diberikan oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan pelaksanaan dasar baharu ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha dan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2024 juga bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan SPHM yang dilaksanakan oleh Jakim dan MAIN/JAIN adalah bersifat sukarela. 

Advertisements

Katanya, dasar itu terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia serta perundangan yang berkuat kuasa. 

Malah, kata beliau, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang sijil melalui tahap komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.

“JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri sentiasa bertindak aktif menggalakkan pengusaha memohon SPHM dan dalam masa yang sama, menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi pembimbing di peringkat persekutuan dan negeri. 

“Ini adalah kerana sebagai pemegang SPHM, ia akan memberi jaminan kualiti kepada produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan dan nilai tambah kepada perniagaan dalam memperluaskan pasaran,” katanya.

Sebelum ini Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah mewajibkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan F&B memiliki SPHM sebagai syarat memperbaharui lesen perniagaan.

Ini menjadikan MPKB-BRI dipercayai sebagai PBT pertama di negara ini yang mengambil langkah mewajibkan permohoban SPHM tersebut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan