SEBANYAK 51.03 peratus daripada 20,216 pengundi selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat pukul 12 tengah hari bagi memilih wakil rakyat baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kemas kini terbaharu peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN KKB yang dimuat naik dalam media sosial.
Tepat pukul 8 pagi tadi, kesemua 20 pusat mengundi dengan 46 saluran bagi PRK DUN Nenggiri dibuka serentak.
Proses pengundian akan ditutup secara berperingkat antara pukul 2 dan 6 petang nanti.
Empat pusat mengundi akan ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala SK Pulat dan Dewan Orang Ramai Pos Simpor ditutup pada 3 petang.
Pada 5 Ogos lepas, 43 kertas undi pos telah dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pengundi yang berhak di Nenggiri termasuk kepada 14 anggota polis.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
Kedua-dua calon yang bertanding mengundi di pusat mengundi yang sama iaitu Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama.
Azmawi Fikri bersama isterinya, Nur Khamila Mohd Zin, 38, tiba di pusat mengundi berkenaan pada 8.30 pagi.
Selang 10 minit kemudian, Mohd Rizwadi bersama isterinya Che Mariam Che Noh pula tiba di pusat mengundi itu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi. – Edisi 9