TAN Sri Muhyiddin Yassin percaya kenyataan dalam ucapannya semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
Presiden Bersatu itu menegaskan ucapan beliau merupakan suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan tersebut.
“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya,” katanya dalam kenyataan ringkas menerusi media sosial hari ini.
Malam tadi, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan bekas Persana Menteri itu kerana secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikai tugas dan peranan Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Titah baginda, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat seolah-olah ayahanda baginda tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri Ke-10.
Baginda bertitah, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.
“Justeru, saya mahu pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (agama, kaum dan raja-raja),” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini tular ucapan Muhyiddin ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas PRU-15.
Beliau berkata, sokongan yang diperoleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.
“Saya dapat 115. Kalau ikut kiraan Perlembahaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi perdana menteri. Ini bukan untuk mengungkit tetapi ia sebagai rekod atau sejarah.
“Tapi entah macam-mana Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu tak ajak jemput saya pergi istana angkat sumpah. Siapa Agong dulu. Pahanglah ya,” katanya seperti dilapor media. – Edisi 9