25.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 8, 2024

Sindiket ejen haram tumpas, lapan termasuk dalang ditahan

Mesti Baca

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket ejen haram dan menahan lapan individu dalam satu operasi khas di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, Khamis lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dilakukan di Cheras, Mid Valley Cort, Desa Pandan, Taman Midan Subgai Besi di Kuala Lumpur; Sepang, Selangor dan Bandar Enstek di Negeri Sembilan bermula 10.30 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya menahan empat lelaki warganegara Malaysia yang mana dua daripada mereka adalah dalang utama sindiket tersebut.

“Penahanan juga melibatkan dua perempuan warga China yang disyaki sebagai ahli sindiket. 

“Turut ditahan seorang lelaki warga China yang dipercayai sebagai pelanggan kepada sindiket dan seorang perempuan Filipina yang merupakan seorang pembantu rumah kepada salah seorang dalang utama,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan yang ditahan seramai lapan orang yang berusia antara 33 hingga 53 tahun.

Ruslin berkata, hasil semakan awal mendapati, kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Ruslin Jusoh (depan) memeriksa kenderaan yang disita daripada sindiket.

Katanya, pasukan operasi telah merampas 107 naskah pasport antarabangsa pelbagai negara yang terdiri daripada 100 naskah pasport China, dua pasport Taiwan, tiga Thailand, satu pasport Vanuatu dan satu pasport negara Dominica.

Beliau berkata, turut dirampas borang permohonan Pas Lawatan Jabatan Imigresen Malaysia, wang tunai RM57,260 dan Thai Bhat 29,660.

“Turut disita lima buah kenderaan yang terdiri daripada dua kenderaan jenis BMW, sebuah kenderaan jenis Volkswagen, sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dan sebuah kenderaan jenis Suzuki Swift.

Advertisements

“Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan mendapatkan kemudahan imigresen,” katanya.

Ruslin berkata, sindiket tersebut mensasarkan warga China yang ingin mendapatkan kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang dan Jangka Pendek untuk tinggal lebih lama di negara ini. 

Katanya, sindiket yang dipercayai sudah beroperasi selama sebulan itu menggunakan aplikasi WeChat dan media sosial untuk mempromosikan perkhidmatan mereka. 

Kadar bayaran yang dikenakan pula bermula RM1,200 bagi kemudahan Pas Khas (Special Pass) dan boleh mencecah sehingga RM15,000 bagi kemudahan Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang.

Sementara itu, Ruslin berkata, empat lelaki tempatan dan dua perempuan China ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. 

Manakala  lelaki  China dan perempuan Filipina ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 membawa kepada hukuman jika sabit kesalahan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 membawa kepada hukuman jika sabit kesalahan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan bertanggungan kepada sebatan tidak lebih daripada enam sebatan,” katanya.

Kesemua warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Mahkota: BN sekali lagi pertaruh calon Pemuda 

BARISAN Nasional (BN) sekali lagi menpertaruhkan wakil Pemuda UMNO sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri...

Lagi Artikel Berkaitan