SEBANYAK 128 kertas undi pos dikeluarkan kepada pengundi yang berhak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan petugas pilihan raya yang dilantik Pegawai Pengurus dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon yang bertanding.
Beliau berkata, kertas undi pos yang telah dikeluarkan hari ini itu terdiri daripada 120 undi pos Kategori 1A (Petugas Pilihan Raya dan Anggota Polis), lima undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan tiga undi pos bagi Kategori 1C (Agensi dan Organisasi).
“Kesemua anggota polis terlibat dalam PRK ini telah dikeluarkan kertas undi pos. Oleh itu, tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 2 Julai 2024 (Selasa) nanti,” katanya hari ini.
Ikmalrudin turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang).
Beliau berkata, borang yang telah lengmap diisi perlu segera dikembalikan kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi iaitu pada 6 Julai 2024.
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya. – Edisi 9

