31.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

FAM pertimbang lapor polis isu surat layang – Hamidin

Mesti Baca

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menimbang untuk membuat laporan polis berhubung penyebaran surat layang yang mengkritik kepimpinan persatuan itu.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ini kerana surat layang tersebut telah menimbulkan persepsi negatif terutama dalam kalangan penyokong dan peminat bola sepak tanah air serta antarabangsa.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan sumber asal e-mel surat tersebut.

Jika ia melibatkan kakitangan FAM, Hamidin menegaskan, siasatan dalam turut akan dibuat.

“Segala apa yang dinyatakan oleh penulis surat layang berkenaan adalah lebih bersifat untuk menyerang peribadi yang merupakan fitnah dan tohmahan semata-mata.

“Ia juga dilihat datang daripada seorang individu atau lebih yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM Ke-60 di Subang Jaya hari ini.

Sambil menafikan dakwaan surat tersebut, Hamidin berkata, semua perkara melibatkan kewangan di FAM adalah mengikut Statut FAM serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Advertisements

Katanya, ia perlu melalui Jawatankuasa Tetap masing-masing, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM, sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diluluskan.

Justeru, katanya, berpandukan kepada Statut FAM, laporan berhubung perkara itu akan dihantar kepada Jawatankuasa Integriti FAM, sebuah badan bebas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat.

Katanya, jawatankuasa integriti itu turut dibarisi ahli-ahli jawatankuasanya terdiri daripada antaranya wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dinilai dan diperhalusi.

“FAM sentiasa bersikap terbuka untuk disiasat dan akan memberikan sepenuh kerjasama dalam memberikan maklumat mengenai dakwaan-dakwaan yang dinyatakan dalam surat layang tersebut,” katanya.

Semalam, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan penyebaran surat layang yang dihantar menerusi e-mel di media sosial mengenai isu salah laku dalam pengurusan FAM sehingga membabitkan pasukan Harimau Malaya.

E-mel tersebut turut dihantar kepada pihak media oleh seorang pengirim yang tidak diketahui identiti sebenar dan hanya menggunakan nama UltrasFAM. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan