SERAMAI 8.4 juta rakyat negara ini bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang melibatkan bayaran antara RM100 sehingga RM650 seorang yang akan dibayar mulai Rabu, 3 April.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran STR Fasa 2 tersebut adalah bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana-rendah menangani peningkatan kos sara hidup.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi STR Fasa 2 tersebut, kerajaan telah menambah peruntukan program subsidi bersasar tersebut sebanyak 20 peratus, kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.
“Reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan MADANI bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.
“Insya-Allah, Kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran tersebut melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Beliau berkata, mulai tahun ini, Kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata, semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my
“Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR,” katanya. – Edisi 9