26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Aliff Syukri sekali lagi disiasat di bawah Seksyen 233 – SKMM

Mesti Baca

USAHAWAN kosmetik kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman sekali lagi disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana menyebarkan kandungan bersifat jelik yang melanggar peruntukan akta tersebut.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, di bawah Seksyen berkenaan, jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain,” kata kenyataan itu hari ini.

Sebelum itu, SKMM memaklumkan pihaknya selesai merakam percakapan Aliff Syukri di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya.

Kata SKMM, rakaman percakapan itu susulan aduan yang diterima oleh suruhanjaya itu berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik berkenaan.

Advertisements

Katanya, setelah kertas siasatan siap, ianya akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

SKMM berkata, pegawai penyiasat telah menyita kad SIM dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang telah digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, Aliff Syukri memuat naik klip video lagu baharu berjudul Love Raya yang memaparkan sekumpulan lelaki berkelakuan aneh dan tidak sopan pada bulan Ramadan.

Klip video tersebut mendapat kecaman banyak pihak sebelum beliau memadamnya dan memohon maaf menerusi media sosialnya.

Ini bukan kali pertama Aliff Syukri menghasilkan klip video raya bersifat demikian kerana dua tahun lalu beliau turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana mengeluarkan klip video yang dianggap mencolok mata. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan