30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Lelaki maut ditikam ketika paksa teman wanita lakukan seks

Mesti Baca

MAYAT seorang lelaki ditemukan di hadapan tandas awam Dataran Lemang Manek Urai dekat Kuala Krai kelmarin, dengan tiga kesan tikaman pada perut, dipercayai dilakukan seorang wanita yang dipaksa melakukan seks oleh mangsa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 6.30 petang mengenai penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di hadapan tandas awam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa adalah lelaki tempatan berusia 45 tahun tetapi pemeriksaan di lokasi mayat ditemukan tidak menjumpai sebarang kesan darah.

“Siasatan polis mendapati, kejadian itu bermula pada 28 Mac lalu di mana mangsa melarikan teman wanitanya dari Sungai Tong, Setiu, Terengganu yang dibawa ke beberapa kawasan dalam daerah Kuala Krai.

“Mangsa kemudian ditikam sebanyak tiga kali di bahagian perut dengan menggunakan sebilah pisau, ketika memaksa teman wanita itu melakukan hubungan seks.

“Mangsa dipercayai melarikan diri, setelah teman wanita berkenaan melepaskan diri daripada pengawasannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, siasatan awal mendapati, mangsa mempunyai beberapa rekod lampau berkait kes jenayah dan narkotik.

Advertisements

“Hasil semakan rekod mendapati, mangsa adalah seorang suspek berkait kes kurungan salah terhadap seorang wanita yang disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk bedah siasat.

“Doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan luka yang terdapat di bahagian perut, kesan daripada tikaman yang menembusi abdomen dan terkena usus najis.

“Pada masa sama, mangsa tidak mendapatkan rawatan awal sehingga menyebabkan luka dalam menjadi parah akibat jangkitan kuman,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang wanita berusia 28 tahun serta merampas sebilah pisau pemotong sayur yang digunakan dalam pembunuhan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

In Saff Travel tawar pakej umrah serendah RM4970

BERUSAHA memberikan yang terbaik terhadap pelanggannya, syarikat pengendali pakej umrah, In Saff Travel & Tours Sdn Bhd menampilkan pakej...

Lagi Artikel Berkaitan