TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kecewa kerana berlaku pengagihan bantuan tidak sama rata dalam kalangan mangsa banjir di beberapa negeri tertentu pada musim banjir tahun lepas.
Beliau mendakwa situasi tersebut berlaku disebabkan perbezaan ‘warna’ politik sehingga menyaksikan individu yang layak dan sepatutnya menerima bantuan tidak disenaraikan.
“Saya fikir ini sesuatu yang harus dielakkan. Kita mahu wujudkan kesamarataan dan keadilan kepada semua mangsa tetapi ia tidak berlaku di beberapa negeri tertentu,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sultan Mahmud di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said.
Zahid juga berkata semasa kempen pilihan raya, kerajaan negeri terbabit telah berjanji untuk tidak memilih ‘warna’ politik apabila menyalurkan bantuan bencana kepada rakyat.
Bagaimanapun, kata beliau, perkara sebaliknya berlaku selepas mereka memenanginya.
Sebelum itu, Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, jumlah kerugian akibat bencana banjir di seluruh negara pada musim tengkujuh kali ini dianggarkan hampir RM1 bilion.
Beliau berkata, ketika ini Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) masih menilai jumlah sebenar kerosakan yang dialami akibat bencana itu.
“Secara kasar, kita menganggarkan kerosakan keseluruhan mungkin hampir RM1 bilion,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau berkata, jumlah kerugian termasuk kerosakan infrastruktur seperti jalan persekutuan yang sedang dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya dan jalan di luar bandar oleh kementeriannya.
Katanya, bantuan membaiki rumah yang terjejas dan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir juga telah disalurkan oleh NADMA kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri serta daerah. – Edisi 9