31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Usia tak halang Zahrah kejar cita-cita sebagai pakar hartanah

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

GADIS berusia 25 tahun ini baru sahaja mendaftarkan diri ke dalam jurusan Sarjana Muda Sains Harta Tanah di Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM) pada bulan Oktober 2023.

Walaupun agak lewat dan lebih berusia berbanding rakan-rakan sekelas yang lain, namun itu bukan penghalang anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini untuk melanjutkan pengajiannya demi mengejar cita-cita sebagai pakar hartanah satu masa nanti.

“Sejak diperkenalkan kepada bidang hartanah ini oleh bapa saya, saya tidak menoleh ke belakang lagi.

“Inilah kerjaya yang mampu menggilap dan menyerlahkan potensi diri saya yang sebenar untuk menjadi seorang yang bukan sahaja berjaya dari segi individu, tetapi juga menjadi manfaat kepada komuniti,” kata pemilik nama Fatimatul Zahrah Mohd Zainal ini.

Anak bongsu daripada tujuh adik-beradik ini yang mesra disapa sebagai Zahrah, asalnya bercita-cita menjadi seorang peguam.

Namun setelah mula menceburi bidang hartanah secara sambilan ketika berusia 19 tahun, dan berjaya menerima pendapatan mencecah lima angka sebulan hanya setelah beberapa bulan berkecimpung di dalam industri ini, dia nekad menukar hala tuju kehidupannya.

Walaupun sedikit terlambat mendaftarkan diri sebagai pelajar namun tidak menjadi penghalang Zahrah dalam mendalami ilmu bidang hartanah.

“Bukanlah kehidupan mewah yang saya kejar dan dijadikan asas pemilihan kerjaya pada masa akan datang, kerana pada pandangan saya yang lebih penting sama ada sesuatu bidang kerjaya itu memberi ruang kepada saya untuk berdikari, menimba ilmu, dan akhirnya berupaya mengenali diri saya yang sebenar,” katanya.

Keinginannya yang meluap-luap untuk mendalami ilmu dalam bidang hartanah setelah menamatkan pengajian Diploma Sumber Manusia di Pusat Pengajian Berterusan Universiti Malaya (UMCCEd) setelah menamatkan persekolahannya.

Namun perjalanan akademiknya ke peringkat ijazah sarjana muda terhenti sebaik pandemik COVID-19 melanda dunia pada tahun 2020.

Kebetulan kesihatan ibunya yang tidak begitu baik ketika itu telah memaksanya untuk menghentikan perjalanan akademiknya buat seketika, biar pun berjaya menggenggam gelaran pelajar terbaik keseluruhan untuk pengajian diplomanya di UMCCEd.

Tanggungjawab berbakti semula kepada ibu bapa yang melahirkan digalas tanpa seribu alasan.

Sebagai seorang yang enggan menerima ‘tidak’ sebagai jawapan, Zahrah kini meneruskan pengajiannya dalam bidang hartanah di UM, demi kelangsungan cita-citanya untuk menjadi pakar hartanah satu hari nanti.

“Sejak kecil memang saya seorang pencinta ilmu. Buku memang tidak pernah jauh dari capaian tangan saya.

Advertisements

“Seingat saya, ketika membesar di kantin sekolah tempat ibu berniaga, saya sentiasa dikelilingi buku yang banyak membina persepsi saya terhadap pembelajaran dan kehidupan,” katanya yang menjadikan buku Robert Kiyosaki, Rich Dad Poor Dad sebagai buku yang paling banyak mempengaruhi pemikirannya.

Fatimatul Zahrah Mohd Zainal menerima Anugerah Ikon Pelajar daripada Universiti Malaya.

Ditanya jika mempunyai suri teladan yang sering dijadikan idola bagi memberinya inspirasi, Zahrah pantas memberi nama pakar motivasi, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad, sebagai jawapan.

“Saya membaca buku beliau mengenai kaedah menjadi seorang pelajar yang baik sejak berumur 11 tahun. Jujur saya katakan buku itu telah mengubah pandangan saya mengenai erti sebenar kejayaan.

“Buku itulah yang mengajar saya untuk menyusun semula keutamaan hidup kita dalam seharian, yang akhirnya memberikan kita ‘masa’ untuk melakukan apa sahaja, terutamanya untuk kebaikan peribadi dan mereka yang ada di sekeliling kita,” kata penggemar masakan asam pedas ini.

Zahrah bukan sahaja seorang ulat buku, malah kecemerlangannya turut meliputi penglibatannya dalam pelbagai program dan aktiviti, dari peringkat sekolah sehinggalah ke universiti.

“Dari pertandingan pantun dan bicara berirama, sehinggalah ke debat dan syarahan, saya sertai semuanya semasa di sekolah.

“Jawatan sebagai Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Diploma semasa di UMCCEd juga tidak menghalang saya mencapai anugerah dekan pada setiap semester,” kata gadis periang ini.

Menariknya, disebabkan dia yang lebih berusia berbanding rakan-rakan sekelas di UM, ditambah dengan pengalaman melanjutkan pengajian diploma dalam bidang yang sama, Zahrah kini juga sering diminta berkongsi nasihat dalam hidup dan perkara berkaitan pengajian oleh rakan-rakannya.

“Saya gembira dijadikan rujukan sebegini, walaupun perlu diakui bukanlah saya orang yang paling berilmu dalam hal yang ditanyakan. Namun saya melihatnya sebagai salah satu kaedah untuk mendekati komuniti yang terdekat dengan saya, iaitu rakan sekuliah.

“Antara pesanan yang sering juga saya kongsikan kepada mereka ialah sepotong hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”

“Melalui sebaris ayat ini sahaja sudah cukup menunjukkan yang setiap daripada kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk membantu individu lain yang memerlukan.”

“Dan saya juga suka berpesan yang kehidupan ini sentiasa penuh dengan peluang. Hanya tinggal kita sahaja untuk mengambil cakna mengenainya, dan merebut manfaat dan kemenangan yang bakal tersedia,” kata Zahrah. – Dr Nahrizul Adib Kadri/Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan