26.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Pan Gon mahu kekal, nafi hantar surat kepada FAM

Mesti Baca

KETUA Jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon menafikan laporan media konon beliau sudah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan bersedia untuk meninggalkan skuad Harimau Malaya.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, laporan berita yang dipetik daripada sumber tersebut sama sekali tidak tepat kerana beliau tidak menghantar apa-apa surat berkaitan perkara tersebut.

“Selepas membaca laporan berita tersebut, saya terus menghubungi Presiden FAM, Hamidin Mohd Amin bagi menjelaskan mengenai perkara ini dansaya sendiri telah memberi jaminan kepada beliau bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pan Gon berkata, beliau akan terus komited membimbing skuad Harimau Malaya sehingga kontraknya berakhir pada hujung 2025 dengan misi utama membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027.

Sebelum itu, sebuah media melaporkan barisan kejurulatihan diterajui Pan-gon dikatakan bersedia untuk meninggalkan skuad kebangsaan sekiranya khidmat mereka tidak lagi diperlukan FAM.

Advertisements

Media tersebut yang memetik sumber berkata, barisan kejurulatihan Pan Gon sudah menghantar surat kepada badan induk itu dan menuntut pampasan hanya tiga bulan sekiranya FAM membuat keputusan untuk menamatkan khidmat mereka.

Skuad Harimau Malaya mendapat kritikan pedas daripada penyokong dan peminat bola sepak negara setelah pasukan itu tewas dua kali berturut-turut berdepan Oman dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Setelah tewas 2-0 di Muscat, anak-anak buah Pan Gon diharap bangkit ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil namun nyata gagal dan mereka sekali lagi ditewaskan, juga dengan jaringan sama.

Dua kekalahan tersebut menyukarkan Harimau Malaysia untuk ke pusingan seterusnya kerana selepas ini mereka akan bertandang ke Krygystan sebelum menerima kunjungan Chinese Taipei para Jun ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan