PROGRAM berbuka puasa secara beramai-ramai di Dataran Merdeka, ibu negara atau dikenali Iftar@KL disasarkan menarik lebih 35,000 warga kota serta pelancong sepanjang enam hari program itu berlangsung sepanjang Ramadan kali ini.
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, penganjuran kali ke-12 melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu menampilkan konsep berbuka puasa secara makan berjemaah di dalam dulang.
“Ia bertujuan mengembalikan nostalgia budaya makan di dalam dulang yang mana budaya ini kian dilupakan selain bertujuan untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.
“Selain itu, tahun ini JKKN turut bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan program Jom Exchange Al-Quran iaitu pemulangan Al-Quran yang tidak mendapat kelulusan dari pihak KDN dan digantikan dengan Al-Quran yang telah diluluskan oleh KDN.
“Dalam pada itu, JKKN dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan malam ‘Suara Dari Gaza’ iaitu persembahan deklamasi puisi dan persembahan nasyid sebagai manifestasi solidariti masyarakat Malaysia kepada umat Islam di Palestin,” katanya selepas peluncuran program tersebut, petang semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Sr Kamarulzaman Mat Salleh dan Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Iftar@KL ini merupakan salah satu pendekatan yang positif dalam memupuk nilai murni dan jati diri masyarakat bandar khususnya generasi muda.
“Misalnya melalui aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk, program sukarelawan dan agihan bubur lambuk kepada golongan asnaf dan gelandangan.
“Penganjuran program sebegini juga merupakan tanggungjawan sosial kementerian ini ke arah mencerminkan Kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” jelasnya.
Program Iftar@KL akan berlangsung selama enam hari iaitu pada 23, 24, 30, 31 Mac dan 6 hingga 7 April bertempat di Jalan Raja, Dataran Merdeka Kuala Lumpur.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik seperti penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, solat berjemaah, tadarus Al-Quran, Tazkirah Ramadan, Bicara Ramadan, Sukarawan Skuad Buday, kaunter zakat fitrah serta jualan makanan kendera saji. – Edisi 9