26.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

UMNO harap PM junjung semangat keadilan untuk Najib

Mesti Baca

UMNO hari ini menegaskan bahawa pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat kerana merasakan bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat keadilan seawal proses pembicaraan.

Sehubungan itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO dalam satu kenyataan berharap, atas prinsip keadilan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan sama-sama menjunjung semangat tersebut.

UMNO berkata, sementara mereka mendukung Perlembagaan Persekutuan, parti itu terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut.

Berikut kenyataan penuh Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO hari ini:

UMNO mengambil maklum tentang keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak.

Kita menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut.

UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara di samping berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan Datuk Seri Najib diteruskan.

Advertisements

UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Datuk Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.

Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini.

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat khas hari ini susulan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri oleh Naib-naib Presiden iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Ghani.

Semalam, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, memberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalani Najib sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Najib turut perlu membayar denda yang dikurangkan kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, jika Najib gagal membayar denda tersebut, tempoh penjara terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan ditambah selama setahun, iaitu tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2029. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan