26.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 14, 2024

Lombong Bukit Perangin tidak selamat, diarah henti tugas

Mesti Baca

TAPAK lombong Bukit Perangin, Temin di Kubang Pasu, Kedah yang mengorbankan nyawa seorang pekerja asing didapati berisiko tinggi dan tidak selamat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sehubungan itu segala kerja di tapak lombong tersebut telah diarahkan agar dihentikan.

Beliau berkata, laporan awal menunjukkan kawasan muka lombong tersebut berada dalam keadaan yang tidak stabil dan mempunyai risiko runtuhan susulan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), terdapat banyak retakan pada struktur batuan yang boleh menyebabkan runtuhan dan kawasan kerja masih dikategori sebagai tidak selamat.

“Dalam hal ini, segala kerja dalam kawasan lombong telah diarah untuk dihentikan merujuk kepada Seksyen 21(2) Akta Pembangunan Mineral 1994.

“Selain itu, arahan juga telah dikeluarkan agar kesemua akses masuk ke kawasan kejadian ditutup sehingga siasatan selesai dijalankan.

Surat Arahan Henti Tugas (Stop Work Order) telah dikeluarkan oleh JMG pada 1 Februari 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Berhubung kemalangan maut yang mengorbankan seorang pekerja asing di tapak lombong tersebut, Nik Nazmi berkata, ia berpunca daripada tindakan para pekerja yang mengingkari arahan.

Katanya, siasatan awal JMG mendapati pihak lombong telah meletakkan tali penghadang sebagai langkah kawalan keselamatan bagi mengelakkan kawasan kejadian daripada diceroboh masuk.

Walau bagaimanapun, katanya, pemeriksaan sekitar mendapati tiada sebarang papan tanda keselamatan atau peringatan diletakkan berhampiran kawasan kejadian.

“Rakaman saksi utama kejadian memaklumkan bahawa para pekerja telah mengingkari arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan agar menjalankan kerja di kawasan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau menegaskan, Kementerian sentiasa memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya yang melibatkan pekerja, orang awam dan harta benda.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para majikan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam mematuhi segenap aspek keselamatan di tempat kerja serta mematuhi Akta Pembangunan Mineral 1994 yang berkuatkuasa. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelan Tindakan Industri Penjagaan dijangka siap Julai – KPWKM

PELAN Industri Penjagaan di Malaysia yang dirangka sebagai pemacu perubahan untuk merancakkan ekonomi melalui industri penjagaan dijangka siap Julai...

Lagi Artikel Berkaitan