29.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, January 21, 2025

Malaysia, Jepun perkasa kerjasama perdagangan halal

Mesti Baca

MALAYSIA dan Jepun memperkukuhkan kerjasama dalam perdagangan halal kerana menyedari industri tersebut mempunyai potensi yang besar bagi kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, komitmen Jepun dalam memastikan aspek kualiti dan integriti halal dapat dilihat apabila terdapat enam badan persijilan halal negara itu yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau berkata, walaupun bilangan penduduk beragama Islam di Jepun agak kecil, namun pasaran halal negara itu tetap mewujudkan peluang besar bagi pertumbuhan serta kerjasama dalam industri halal.

“Sebagai contoh, jumlah eksport Malaysia mencecah RM 59.46 bilion pada 2022, dengan eksport halal ke Jepun berjumlah RM 3.6 bilion. Angka ini jelas mencerminkan potensi besar boleh diterokai dalam perdagangan sektor halal antara kedua-dua negara,” katanya di Osaka, Jepun hari ini.

Mengambil kira cabaran dihadapi produk halal dikeluarkan negara bukan majoriti Islam seperti Jepun, Zahid berkata, Malaysia melalui Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) sedia membantu usaha capaian global menerusi kepakaran dan infrastruktur yang dimiliki.

“Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia (MPIH), semua pemegang taruh halal bersedia membantu Jepun meningkatkan infrastruktur dan rangkaian bekalannya, sekali gus memperkukuh hubungan dagang dua hala,” katanya.

Advertisements

Sempena lawatan tersebut, Zahid turut menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu antara Perbadanan Pembangunan Halal Malaysia (HDC) dan AEON Co. (M) Berhad bagi mempromosi produk halal Malaysia di Jepun.

Beliau berkata, AEON akan menyediakan panduan perniagaan kepada pemain industri halal di Malaysia bagi menembusi pasaran Jepun, mempromosi Platform Bersepadu Halal HDC (HIP) dan menganjurkan sesi pembentangan untuk mempromosi produk Halal.

HDC juga, katanya, akan bekerjasama dalam menyediakan program latihan halal untuk pemain industri halal Jepun bagi memudah cara kemasukan mereka ke dalam pasaran halal.

Beliau berkata, satu lagi MoU adalah antara HDC dan Persatuan Halal Jepun (JHA) yang bertujuan meningkatkan infrastruktur dan pensijilan halal di negara itu.

“Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan perkongsian kepakaran untuk menyelaraskan proses pensijilan halal bagi restoran di Jepun,” katanya.

Zahid berkata, HDC dan JHA memberi komitmen untuk mempromosikan aspek integriti halal secara global dan memperkasakan perniagaan tempatan sebagai antara langkah penting ke arah memajukan industri halal dan menyokong komuniti Islam di Jepun dan seluruh dunia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tiada lagi pemberian tol percuma di musim perayaan – Alexander

TIADA lagi pemberian tol percuma di musim perayaan mulai tahun ini. Itu keputusan yang dibuat dalam satu mesyuarat Kabinet...

Lagi Artikel Berkaitan