25.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Malaysia raih pelaburan RM329.5 bilion, tertinggi dalam sejarah

Mesti Baca

MALAYSIA telah mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu, 23 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2022 sekali gus merupakan tertinggi dalam sejarah negara.

Perkara tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pelaburan asing menjadi penyumbang utama kepada jumlah pelaburan yang diluluskan itu iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding 42.8 peratus pelaburan domestik.

Menurut Anwar, prestasi cemerlang itu disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.

Secara tidak langsung, Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu petanda bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan telah mula membuahkan hasil meningkatkan keyakinan pelabur.

“Landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi yang amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

“Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi dengan menyumbang lebih daripada separuh merangkumi 51.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion diikuti sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements
Jumlah FDI merekodkan pertambahan kepada 57.2 peratus. – Gambar hiasan/DBKL

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat MPN itu juga telah membicnangkan mengenai hala tuju pelaburan digital negara selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat.

Jelasnya, pelaburan digital juga merupakan antara sektor ekonomi yang penting dalam memperkukuh agenda pelaburan negara.

Anwar berkata, ekonomi digital yang telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2021 diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang tahun 2025.

“Bagi tempoh 2021-2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion yang merangkumi projek diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI).

“Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 36,553 rakyat tempatan iaitu dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar dan kecerdasan buatan.

“Kehadiran syarikat-syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.

“Justeru, kerajaan perlu memudahcara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan