25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 17, 2024

Bersara awal demi kasih, hormati KPM – Cikgu Fadli

Mesti Baca

GURU Matematik kontroversi kerana pernah mengkritik Kementerian Pendidikan (KPM), Cikgu Fadli atau nama sebenarnya Mohd Fadli Mohamed Salleh memilih bersara awal sebagai pendidik.

Guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu bagaimana pun menafikan bahawa beliau memilih bersara awal kerana kecewa dengan KPM.

Sebaliknya kata beliau, tindakannya itu kerana terlalu sayangkan KPM dan menghormati kementerian tersebut selaku ‘tuan rumah’.

“Saya tak mahu jadi tetamu yang biadab terhadap tuan rumah yang baik hati. Kerana kasih dan menghormati tuan rumah saya undur diri.

“Saya akan terus berada dalam bidang pendidikan, cuma berbeza haluan. Suara saya akan sentiasa ada.

“Terima kasih buat seluruh warga KPM selama ini. Maafkan diri ini atas apa jua salah,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau sebelum itu berkongsi sekeping gambar menunjukkan poster Majlis Menjunjung Budi Menyanjung Bakti sempena persaraannya yang diraikan oleh SK (1) Gombak esok.

Dalam hantaran menerusi media sosialnya itu, tertera keterangan gambar “Dan akhirnya, tarikh ini tiba jua. Izinkan daku mengundur diri. Terima kasih dan maaf atas segalanya.”

Pada Oktober 2022, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan Mohd Fadli tidak bersalah susulan pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.

Advertisements

Menerusi surat keputusan yang tular di laman sosial petang ini, Mohd Fadli juga dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Berdasarkan surat berkenaan, guru SK (1) Gombak itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh KPM.

Surat berkenaan ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Sebelum itu, tular kisah Mohd Fadli yang dikatakan bakal dikenakan tindakan termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana mengkritik sistem pendidikan negara.

Dalam pada itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menganggap persaraan Mohd Fadli sebagai guru sesuatu yang mengejutkan baginya.

Bagaimanapun, beliau mendoakan agar Mohd Fadli terus berjuang dan berjaya dalam apa juga yang akan diceburi selepas ini.

“Semalam, beliau begitu sibuk dalam live berkongsi ilmu dengan para ibu bapa tentang latihan menjawab mata pelajaran Matematik. Hari ini tiba -tiba sahaja diberitakan sudah bersara.

“Tapi, selagi bernyawa, seorang cikgu akan tetap selamanya cikgu. Saya mendoakan cikgu Fadli akan terus berjuang dan berjaya dalam apa juga bidang yang beliau ceburi selepas ini.

“Bak kata orang tua ‘benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau’.
Selamat Bersara Cikgu!” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

KPM umum beberapa inisiatif termasuk lonjak kapasiti guru digital

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan beberapa inisiatif antaranya bagi melonjakkan kapasiti guru dalam bidang digital, kata Menteri Pendidikan,...

Lagi Artikel Berkaitan