PENYANYI dari seberang, Tiara Andini tampil dengan single lagu istimewa dan menakjubkan menerusi lagu berjudul Ngeluwihi.
Single ini boleh dikatakan menjadi salah satu yang terbaik, bagi penyanyi berusia 22 tahun itu memulakan tahun baru 2024.
Dalam lagu ini, Tiara Andini kembali bekerjasama dengan penerbit muzik dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang sebelumnya pernah berkolaborasi dengannya dalam lagu ‘Flip It Up’.
Hasilnya, lagu ‘Ngeluwihi’ juga memberikan sentuhan KPop dalam susunan muziknya.
Sesuai dengan tajuknya, perkataan ‘Ngeluwihi’ diambil dari Bahasa Jawa yang bererti ‘melebihi’.
Perkataan ini dipilih kerana Tiara ingin membawa asal usulnya sebagai perempuan berdarah Jawa ke dalam karyanya serta ingin menunjukkan versi lebih baik dari dirinya melalui single ini.
Walaupun sebahagian besar liriknya dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris, namun di awal lagu dia memberikan lirik berbahasa Jawa yang menambah keunikan pada lagu itu sendiri.
Tidak hanya itu, Tiara juga mengukuhkan nuansa Jawa dalam gambar promosi lagu ‘Ngeluwihi’ di mana dia memakai pakaian tradisional Jawa hasil kolaborasi antara Jember Fashion Carnaval (dengan Bubah Alfian sebagai pengarahnya), Lisa Ju, Atara Batik, dan Torenda Indonesia.
Duo pereka fesyen ByAnsoe juga turut menyumbang dalam pakaian yang dikenakan Tiara dalam video muzik berkenaan.
Sementara itu, untuk pengarah fesyen keseluruhan, Tiara menggunakan khidmat Rikki Simanjuntak.
“Aku ingin membawa budaya di mana aku lahir, iaitu budaya Jawa, dan ternyata setelah dicuba hasilnya sangat memuaskan, tidak hanya lagunya, tetapi semua hasil produksinya juga melebihi jangkaan aku sebelumnya,” kata Tiara.
Lagu ‘Ngeluwihi’ itu sendiri menceritakan tentang bagaimana seseorang yang diremehkan oleh orang lain pada akhirnya mampu bangkit untuk membuktikan bahawa orang berkenaan salah kerana dia mampu menjadi versi yang lebih baik dari dirinya sendiri.
Susunannya sendiri, seperti yang sudah disebutkan sebelumnya, menyaksikan Tiara bersama penerbit Hyuk Shin kembali menampilkan nuansa muzik KPop yang agresif dan sangat rancak.
Unsur hip-hop, rap, R&B, pop, semua menjadi satu dalam adunan terbaik penerbit ditambah dengan kemampuan Tiara yang menyajikannya dengan kualiti vokal yang hebat.
Tidak hanya itu, video muzik yang ditampilkan juga mengagumkan siapa pun yang melihatnya.
Tiara membawa konsep budaya Jawa hampir di setiap babak yang ada di video muzik ‘Ngeluwihi’ sambil menampilkan tarian yang sangat menarik.
Pakaian tradisional Jawa menjadi salah satu tumpuan yang mencuri perhatian di video muzik ini. Ditambah lagi ia menampilkan “Gunungan” atau “Kayon” yang ada di dalam wayang kulit sebagai latar belakang video muziknya.
“Gunungan” atau “Kayon” pada wayang itu berbentuk kon dan tipis ke atas yang melambangkan kehidupan manusia.
Tiara berharap warna muzik yang ingin ditampilkan dapat diterima dan didengar oleh masyarakat dengan lebih luas lagi.
Tidak hanya di Indonesia, namun juga meliputi penggemar di Asia, bahkan dunia.
“Harapannya tetap ingin dapat dinikmati pendengar yang lebih luas lagi, sehingga lebih banyak lagi juga yang bisa mengetahui budaya Jawa yang ditampilkan di single ini.
“Semoga makna lagu ini juga bisa menjadi motivasi bagi banyak orang untuk selalu menjadi versi yang lebih baik dari diri mereka,” katanya. -Edisi 9