26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

KPDN keluarkan kompaun lebih RM1.7 juta sepanjang 2023

Mesti Baca

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan kompaun RM1,715,053 hasil daripada operasi penguatkuasaannya sepanjang 2023.

Dalam tempoh yang sama, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, sebanyak RM137,517.69 harta alih telah dilucut hak dan dijadikan hasil kerajaan.

Beliau berkata, sebanyak RM1,852,570.69 telah berjaya dipulihkan untuk dijadikan hasil Kerajaan Malaysia daripada kes yang telah dikenakan tindakan pelucuthakan tanpa pendakwaan dan menerusi pengkompaunan.

“Jumlah ini akan meningkat selepas beberapa lagi kes yang sedang dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah selesai,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Azman, Bahagian Penguat Kuasa KPDN menguatkuasakan 12 akta melibatkan kawalan harga dan anti pencatutan, kawalan bekalan barangan bersubsidi dan barangan perlu, perlindungan pengguna, perlindungan harta intelek dan perdagangan domestik.

Beliau berkata, KPDN turut menguatkuasakan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

“Modus operandi yang sering digunakan oleh peniaga bagi mengubah wang haram adalah melalui beberapa kaedah.

“Pertama dengan memasukkan hasil haram ke dalam akaun perniagaan atau individu yang dicampur aduk dengan hasil perniagaan sah.

Advertisements

“Kedua secara penstrukturan iaitu dengan memasukkan ke dalam akaun perniagaan-perniagaan atau individu lain, mewujudkan ‘shell company’, membeli aset atau membuat pelaburan, membayar pinjaman, insuran dan lain-lain.

“Ketiganya menerusi ‘hawala’ iaitu sistem penghantaran wang tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan berlesen yang melibatkan rentas sempadan,” katanya.

Tambahnya, sebanyak RM21,217,979.11 nilai pembekuan telah dibuat melibatkan harta alih dalam institusi kewangan sepanjang operasi penguatkuasaan pihaknya pada tahun lepas.

“Tindakan penyitaan juga telah dibuat bagi 2023 dengan nilai sejumlah RM1,043,601.77 harta alih dalam institusi kewangan, harta tak alih dengan nilai RM2,607,181.00, dan wang
tunai sebanyak RM84,964.00.

“Ini menjadikan nilai penyitaan keseluruhan bagi 2023 sebanyak RM3,735,746.77,” katanya.

Berdasarkan statistik kes bermula 2016 hingga 2023, sejumlah RM56,628,198.30 harta berjaya dilucuthakkan, RM2,419,053 kompaun dan RM12 juta denda telah dikutip dan dikenakan.

“Jumlah keseluruhan hasil Kerajaan menerusi penguatkuasaan Akta 613 oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak RM71,047,251.30,” katanya lagi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan