SKUAD Harimau Malaya mendapat suntikan semangat menjelang Piala Asia 2023 minggu depan apabila berjaya mengikat Syria 2-2 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa (tertutup) di Stadium Grand Hamad, Doha, Qatar awal pagi ini.
Anak-anak buah Kim Pan-gon bermula dengan baik apabila berjaya mendahului pasukan ke-91 dunia itu menerusi pemain paling diberi perhatian di Piala Asia, Arif Aiman Hanafi pada minit ke-39.
Tersentak dengan jaringan tersebut Syria cuba mengasak ke kubu Malaysia namun gagal mencari penyudah.
Malaysia juga cuba menambahkan jaringan namun buntu sehingga memasuki bilik persalinan dengan kedudukan kekal 1-0.
Memasuki separuh masa kedua, Syria berusaha untuk mencari gol penyamaan namun Syihan Azmi kental mempertahankan gawang Harimau Malaya.
Bagaimanapun gawang Malaysia akhirnya bolos pada minit ke-70 menerusi Pablo Sabbag untuk menyamakan kedudukan.
Dalam usaha Harimau Malaya menambah jaringan, Syria berjaya mencuri satu lagi gol empat minit kemudian menerusi Ibrahim Hesar.
Bagaimanapun, jaringan pemain naturalisasi Paulo Josue pada minit ke-78 berjaya mengikat semula pada kedudukan 2-2 sehinggalah ke wisel penamat.
Keputusan itu mengulangi pertemuan kedua-dua pasukan dalam perlawanan persahabatan Tier 1 di China pada September tahun lalu yang menyaksikan mereka terikat 2-2.
Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada pagu Selasa 16 Januari sebelum menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024. – Edisi 9