27.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 21, 2024

EPOMS jalin kerjasama dengan Pahang Skills, CAPE

Mesti Baca

E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS) komited dalam meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi penyediaan tenaga kerja industri minyak dan gas yang berpengetahuan dan berkemahiran di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EPOMS, Zulkarnain Ismail berkata, bagi tujuan itu, EPOMS bekerjasama dengan Pahang Skills dan Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Teknologi PETRONAS (CAPE) bagi pelaksanaan program minyak dan gas untuk tenaga kerja industri berkenaan.

Katanya, usaha itu adalah langkah proaktif bagi menawarkan program yang dirancang khusus untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bakal graduan dalam industri minyak dan gas serta memastikan mereka memenuhi piawaian industri.

“Program yang kita mulakan ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, ini adalah komitmen untuk memupuk bakat, mendorong inovasi dan membina ekosistem yang berterusan bagi memajukan industri kita ke hadapan.

“Kerjasama antara Pahang Skills dan Universiti Teknologi PETRONAS akan mencipta sinergi yang merapatkan jurang antara akademik dan industri serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi kemahiran, pengetahuan dan daya saing serta penyesuaian yang diperlukan untuk berkembang dalam landskap yang sentiasa berubah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengarah EPOMS Datuk Mohd Pathil Ahmad, Pengarah Eksekutif Pahang Skills Mohd Yusri Mohd Nor dan Naib Canselor Universiti Teknologi PETRONAS, Profesor Datuk Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, semalam.

Majlis menandatangani MoU yang memfokuskan kepada pengembangan program pendidikan dan latihan serta kerjasama penyelidikan dan pembangunan itu disaksikan oleh  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Advertisements

Sementara itu, Wan Rosdy ketika ditemui berkata usaha yang dilaksanakan itu amat baik dan dilihat dapat memberi manfaat kepada semua pihak terbabit.

“Pahang akan sentiasa memberi kerjasama yang baik, kita sedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat yang mendatangkan manfaat khususnya kepada penduduk Pahang,” katanya.

Selain itu, EPOMS dalam kenyataan turut memaklumkan kerjasama itu juga bakal menyaksikan syarikat itu akan memimpin pembangunan modul latihan terkini, memastikan program yang merangkumi aspek pengetahuan teori dan aplikasi praktikal itu berjalan lancar.

Pahang Skills pula akan merangka program jangka pendek, sijil kecekapan profesional dan diploma manakala Universiti Teknologi PETRONAS melalui CAPE memainkan peranan penting dalam menyediakan bahan latihan elektronik untuk kursus berkenaan.

Manfaat daripada program ini dilihat antara lain dapat meningkatkan kebolehpasaran peserta kerana ia menawarkan gabungan seimbang pembelajaran di dalam kelas dan latihan praktikal selain membekalkan graduan Sijil Kemahiran Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam industri minyak dan gas, selari dengan keperluan industri serta kemajuan teknologi.

EPOMS yang ditubuhkan pada 2012, adalah penyedia perkhidmatan utama untuk operasi dan selenggaraan fasiliti persisir pantai yang merangkumi seluruh rangkaian industri minyak serta gas negara, iaitu daripada pra-pengeluaran hingga aktiviti pasca pengeluaran.

Pahang Skills ditubuhkan pada 1994 adalah badan berkanun kerajaan negeri Pahang antara lain berperanan menawarkan latihan berteraskan kemahiran dan teknologi manakala CAPE yang ditubuhkan pada 2016 pula menyediakan program dan modul kursus pendek profesional. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Anwar terkesan, sedih dengan kematian Presiden Raisi

DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa terkesan dan sedih menerima laporan kemalangan helikopter yang membabitkan Presiden Iran, Ebrahim Raisi...

Lagi Artikel Berkaitan