MENTERI Pendidikan Tinggi yang baharu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan meneruskan agenda yang telah dibawa oleh pendahulunya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada masa yang sama, bekas Menteri Luar Negeri itu berkata, beliau akan membuat penambahan kepada fokus-fokus baharu yang telah digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendepani cabaran dan memenuhi keperluan masa kini dan akan datang.
“Lantikan ini bukanlah suatu keistimewaan, sebaliknya ini merupakan satu amanah dan pertanggungjawaban yang perlu saya pikul dan tunaikan dengan sebaiknya.
“Kepada keluarga besar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya berharap kita dapat bekerjasama dengan erat dan terus memperkasakan KPT bagi mengangkat agenda pendidikan tinggi negara menapak lagi maju ke hadapan,” katanya hari ini.
Zambry antara menteri yang bertukar portfolio dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan sepertimana diumumkan Perdana Menteri hari ini.
Beliau berkata, perubahan portfolio daripada Kementerian Luar Negeri ke KPT merupakan satu kepercayaan dan budi bicara Perdana Menteri dengan memberikan beberapa fokus utama yang perlu dilaksanakan.
Beliau turut berterima kasih kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana terus yakin kepada beliau untuk beradan dalam saf kepimpinan Kerajaan Madani.
“Ini juga merupakan satu penghormatan kepada Barisan Nasional untuk terus berbakti kepada negara,” katanya yang juga Setiausaha BN.
Zambry juga merakamkan penghargaan kepada keluarga Wisma Malaysia atas komitmen yang diberikan sepanjang setahun beliau berada di Kementerian Luar Negeri.
Katanya, banyak pencapaian yang telah sama-sama dilakar sebagai satu pasukan dan berharap kerjasama serta kecemerlangan Malaysia di pentas antarabangsa dapat diteruskan di bawah kepimpinan Datuk Seri Utama Mohamad Hassan.
“Dengan barisan Jemaah Menteri yang baru ini, saya yakin dan percaya Kerajaan Malaysia Madani akan terus berusaha untuk memastikan Malaysia dapat dikelola dengan sebaiknya dan kesejahteraan rakyat akan terus ditingkatkan,” katanya. – Edisi 9