27.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

Ungu penuhi Mega Star Arena KL, 25 Februari depan

Mesti Baca

CINTA Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Tercipta Untukmu dan Andai Ku Tahu.

Lagu-lagu hit ini cukup meledakan nama kumpulan Ungu tidak hanya di negara kelahiran mereka Indonesia, tetapi juga Malaysia. Malah ia tidak akan pernah dilupakan meski telah ada yang mencapai usia lebih 10 tahun.

Sifat malar segar dan mengundang nostalgia dalam setiap lagu yang dihasilkan selalu disifatkan punya kisah peribadi buat semua peminatnya dan membuatkan Ungu masih menjadi kugiran yang kemunculan mereka di atas panggung konsert selalu dinantikan.

Untuk menyuburkan  nostalgia dan kecintaan terhadap Ungu, AKE Group selaku penaja manakala Icon Entertainment selaku penganjur dengan bangga membawa kugiran yang ditubuhkan pada 1996 di Jakarta ini kembali bertemu peminat di Malaysia.

Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless, begitulah nama konsert yang akan berlangsung di Mega Star Arena KL pada 25 Februari tahun depan.

Kugiran yang dianggotai oleh Pasha (vokalis), Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (Bass), Rowman (dram) akan mengisi konsert dengan 1001 nostalgia dan kenangan baharu yang bakal dicipta.

“Kami sedar Ungu dan peminat di Malaysia sangat akrab dan penggemar di sini juga memainkan banyak peranan menyokong karier mereka sejak menembus pasaran di sini lebih satu dekad lalu.

“Oleh kerana itu, walaupun dalam perjalanan karier Ungu sudah melakukan banyak konsert atau persembahan di Malaysia namun kami di AKE Group tidak gentar membawa mereka kembali ke rumah kedua ini pada 25 Februari 2024.

“Kami yakin banyak peminat yang sudah merindui Ungu dan mahu menonton persembahan secara langsung dalam sebuah konsert, ia juga adalah kerana mereka memiliki segudang hit yang akan membuat Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless istimewa.

“Istimewa kerana Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless akan menyaksikan kugiran popular ini mempersembahkan sekitar 30 lagu hits di sepanjang karier mereka khusus buat peminat semua,” kata Dato’ Bakhtiar dari AKE Group.

AKE Group secara amnya menaungi AKE Seni khusus untuk aktiviti seni kumpulan AKE. AKE Seni adalah rakan kerjasama untuk konsert ini.

Advertisements

Ini adalah pembabitan kedua AKE Group dan AKE Seni selepas muncul dengan Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi Opick & Sakti yang meninggalkan banyak momen bermanfaat dan manis buat khalayak yang hadir di Zepp Kuala Lumpur, 11 November lalu.

Menguatkan kenyataan diberikan AKE Group, Ungu yang memiliki lapan album studio dengan yang sulung dirakamkan pada tahun 2002 iaitu Laguku, beberapa album keagamaan yang cukup hit termasuk SurgaMu (2006) serta album runut bunyi sendiri berikrar untuk tampil maksimal pada Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless.

“Sangat senang untuk kembali konsert di Malaysia yang sudah ibarat seperti rumah kedua kami.

“Hasil perbincangan dengan penganjur Ungu akhirnya mencapai kata sepakat Ungu Live In Kuala Lumpur akan menyaksikan kami dengan 30 karya paling unggul yang pernah diciptakan Ungu akan dipersembahkan kepada peminat, Insya-Allah.

“Seperti apa konsertnya nanti, Ungu berharap jangan sampai ada peminat yang melewatkannya (terlepas). Semoga kelak ia akan menjadi sebuah lagi konsert Ungu yang meninggalkan memori terbaik buat semua,” kata Pasha.

Pasha berkata, mereka bakal memedleykan lagu-lagu hits dari Malaysia dan Indonesia sebagai salah sebuah hadiah untuk penonton.

Untuk sama-sama meraikan Ungu dan 30 karya hits mereka, jangan sampai terlepas membeli tiket-tiket dengan harga RM138 (DEMI WAKTU, SEATING 2), RM218 (KEKASIH GELAPKU, SEATING 1) dan RM338 (TERCIPTA UNTUKMU, STANDING).

Kesemua kategori tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my atau hubungi talian hotline di 012 6530 700 menerusi Whatsapp.

Penonton juga disarankan memakai salah satu aksesori, busana atau kasut berwarna UNGU bertepatan dengan konsep konsert.

Diharapkan, ia akan menambahkan keserian suasana malam itu dengan limpahan warna Ungu yang bakal bertebaran di lokasi konsert.

Pembeli tiket melalui Maybank bakal menerima diskaun sebanyak 10 peratus untuk pengguna kad debit manakala 12 peratus untuk pengguna kad kredit. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan