SEORANG pemimpin UMNO hari ini memuji cara Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang dikatakan bijak mengendalikan isu berhubug lantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Loke yang menganggap kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham agar kerajaan melantik bukan Islam ke dalam jawatankuasa itu sebagai kekhilafan adalah satu cara yang sederhana.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, banyak pihak yang senang dengan gaya kepimpinan Loke yang membawa imej sederhana dan menghormati kawan dan lawan.
“Masalahnya “bad boy” (budak nakal) dalam mana-mana parti politik termasuk DAP. Akan ada ahli atau pemimpin tidak boleh dikawal. Cakap ikut suka hati. Menyusahkan parti.
“Ngeh Koo Ham, Tony Pua dan (Tan Sri) Lim Kit Siang sering buat kenyataan kontroversi dan tiada keperluan. Mereka sebenarnya outdated (basi),” katanya menerusi hantaran dalam Facebooknya hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kenyataan-kenyataan yang dibuat kumpulan tersebut seolah-olah pendirian rasmi parti.
Atas sebab itu, kayanya, parti terpaksa mengambil tindakan tata tertib terhadap mereka sama ada dipecat atau digantung.
“Itu bukan tidak demokratik. Ingkar pendirian parti sebenarnya tidak demokratik. Negara perlu pemimpin lebih realistik seperti Anthony Loke,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh memberi kata dua kepada Loke sama ada memelihara hubungan sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan atau melindungi pemimpin seperti Koo Ham.
Beliau dengan tegas berkata, jika DAP memilih untuk menjaga pemimpin seperti Koo Ham, maka UMNO sedia untuk melupakan hubungan antara Kerajaan Perpaduan. – Edisi 9

