JENAMA pelindung matahari yang dipercayai di Malaysia, Sunplay berjaya melaksanakan inisiatif CSR tahunan syarikatnya buat kali ketiga dengan tema We Care for the Ocean 2023.
Menerusi kerjasama dengan Watsons, Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS) dan aktivis tindakan iklim Melissa Tan, impak yang berkesan telah dicapai dalam menangani pencemaran pantai di tujuh lokasi di serata Malaysia.
Pengurus Besar Rohto-Mentholatum (M) Sdn Bhd Lim Mei Yuen berkata, peluang bekerjasama dengan Watsons, MNS dan Melissa Tan telah meningkatkan capaian usaha dan menjadikan kempen ini benar-benar berjaya.
“Kami telah dapat mengumpulkan dana sebanyak RM40,000 sepanjang bulan November.
“Kami juga teruja dengan jumlah sisa yang berjaya dialihkan dari pantai-pantai di negara kita,” katanya.
Kempen pada tahun ini telah disertai oleh seramai 256 orang sukarelawan. Mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 1,490kg sisa dari tujuh pantai di Malaysia.
Jumlah ini melebihi sisa yang terkumpul pada tahun lalu iaitu sebanyak 1,348kg.
Usaha pembersihan dibahagikan kepada beberapa buah lokasi termasuk Pantai Sekendi di Sabak, Selangor di mana sisa sebanyak 165.9 kg telah dikutip, Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang (720.9 kg), Pantai Redang, Sekinchan (80.3 kg), Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat (23 kg), Pantai Cunang, Tanjung Sepat (116 kg), Pantai Blue Lagoon, Negeri Sembilan (284.3 kg) serta Pantai Morib, Kuala Langat sebanyak 99.2 kg.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif MNS, I.S. Shanmugaraj berkata, mereka percaya fokus utama kempen ini menyerlahkan misi persatuan yang memberi penekanan terhadap pemuliharaan dan penghargaan terhadap alam sekitar.
“Kami juga berbesar hati dapat berganding bahu dengan ahli-ahli pasukan di mana usaha ini memberi kami peluang untuk menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Dalam pada itu, Aktivis Tindakan Iklim dan Kemampanan, Melissa Tan berkata, kempen ini dilakukan bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran tentang pencemaran laut tetapi perlu menggalakkan rakyat Malaysia untuk bertindak.
“Kita perlu menghentikan pencemaran plastik di peringkat sumber. Pilihan yang kita buat pada setiap hari menyumbang secara langsung kepada masalah pencemaran.
“Harapan saya adalah untuk setiap beg sisa yang terkumpul akan menggalakkan setiap orang untuk mengurangkan satu beg sisa setiap hari,” katanya. -Edisi 9