27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Hormati keputusan mahkamah mansuh undang-undang goda isteri orang

Mesti Baca

SEMUA pihak diseru menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan berkaitan menjenayahkan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang kerana ia tidak berpelembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mohktar berkata, pihaknya mengambil maklum serta menghormati keputusan itu yang dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan hakim berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik.

“Pun begitu, jika dilihat dari aspek hukum syarak, Islam sangat mementingkan keharmonian rumah tangga dan ikatan perkahwinan pasangan suami isteri.

“Islam melarang perbuatan mengganggu isteri orang atau sebarang usaha untuk meruntuhkan rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selaras dengan hukum syarak, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) telah menjadikan perbuatan mengganggu keharmonian rumah tangga sebagai suatu kesalahan.

“Ia sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 36 mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami, Seksyen 37 mengenai kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri dan Seksyen 38 mengenai kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan,” katanya.

Advertisements

Mohd Na’im berkata, kesemua peruntukan berkenaan secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumah tangga selaras dengan kehendak syarak.

Beliau berkata, pemansuhan itu juga tidak menjejaskan peranan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk terus melaksanakan program pengukuhan institusi keluarga yang menghayati nilai sakinah, mawaddah dan rahmah.

Sehubungan itu, umat Islam terutama suami isteri diseru untuk berganding bahu bagi melaksanakan kewajipan masing-masing serta saling memperkukuh institusi keluarga demi anak-anak dan generasi Al-Falah selain saling meningkatkan akhlak dalam pergaulan seharian agar sentiasa sejajar dengan pedoman ajaran Islam.

“Agensi hal ehwal agama bersama pertubuhan Islam dan pengurusan masjid diseru untuk memperhebat program pendidikan kepada masyarakat bagi menghayati kepentingan keutuhan sesebuah keluarga demi kehidupan sejahtera,” kata Mohd Na’im.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan pada 15 Disember lepas memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana ia tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata, panel hakim berpendapat bahawa seksyen itu adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. -Bernama

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan