31.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 9, 2024

Harungi 750 batu nautika demi Eksesais Maritim Perkasa Barat

Mesti Baca

KAPAL Maritim (KM) Nusa telah mengharungi sejauh 750 batu nautika secara solo dari Kuala Terengganu ke Pulau Langkawi bagi menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Sempat berada di dalam kelompok 14 buah kapal yang terlibat dalam eksesais berkenaan ketika melalui kawasan perairan Pulau Pinang, KM Nusa turut berjaya menamatkan pelayaran dengan berlabuh di jeti Pulau Langkawi bersama kapal-kapal lain semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, semangat dan iltizam yang ditunjukkan pegawai dan anggota KM Nusa adalah sebahagian contoh kesungguhan warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberikan komitmen mereka demi memastikan sesuatu arahan berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau turut berkata, selain bersemangat melaksanakan tugasan yang diamanahkan, warga Maritim Malaysia perlu meningkatkan kepakaran dalam bidang tertentu khususnya ilmu pelayaran dan penguatkuasaan.

“Komunikasi taktikal misalnya perlu ditingkatkan kerana bilangan anggota semakin berkurangan disebabkan ramai warganya telah bersara wajib dalam perkhidmatan.

Hamid Mohd Amin menutup Eksesais Maritim Perkasa Barat di Langkawi.

“Oleh itu, tindakan segera perlu diambil dengan memberikan pendedahan ilmu komunikasi berkenaan kepada pelapis muda demi kepentingan operasi di masa hadapan,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutup Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di Langkawi hari ini.

Turut sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Norzam Mustapa serta Pengarah Maritim Negeri Kedah Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.

Hamid berkata, Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 turut berjaya mempamerkan keberadaan aset dan kesiagaan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan Selat Melaka.

Sepanjang eksesais ini berlangsung, beliau berkata, tiada sebarang aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan berlaku di kawasan berhampiran sempadan negara di Selat Melaka.

Walau bagaimanapun katanya, KM Burau yang dalam eksesais yang sama berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang telah melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk menggajikan pekerja warga asing.

Melibatkan hampir 500 orang peserta, Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 yang bermula dari Pelabuhan Klang, Selangor telah menjalani tiga fasa latihan iaitu Fasa Pelabuhan pada 26 dan 27 November, Fasa Laut bermula 28 November hingga 1 November 2023 serta Fasa Penutup pada 2 dan 3 Disember 2023 di Pulau Langkawi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Piala Sumbangsih: JDT diberi kemenangan percuma

JOHOR Darul Ta’azim (JDT) bakal diberi kemenangan percuma 3-0 perlawanan pertama Liga Malaysia, sekali gus menjulang Piala Sultan Ahmad...

Lagi Artikel Berkaitan