DUA lelaki disahkan meninggal dunia selepas kenderaan yang mereka naiki dihempap pokok tumbang di Jalan Bukit Belacan, Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang, Selangor hari ini.
Mereka yang terbabit ialah pemandu kereta Toyota Avanza berusia 65 tahun serta penunggang motosikal Yamaha LC berusia 23 tahun.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Muhammad Najib Md Salleh, pihaknya menerima laporan awam berhubung kejadian itu pada pukul 3.51 petang sebelum menggerakkan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ampang ke lokasi kejasi.
Beliau yang juga Komander Operasi berkata, terdapat dua orang mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut iaiu penunggang motosikal, lelaki berusia 23 tahun dan pemandu kereta, warga emas lelaki berusia 65 tahun.
“Pihak Bomba telah menjalankan operasi penyelamatan dengan mengeluarkan kedua-dua mangsa.
“Namun tidak lama selepas itu, petugas KKM (Kementerian Kesihatan) mengesahkan bahawa pemandu kereta telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Manakala penunggang motosikal yang telah di bawa ke Hospital Ampang dimaklumkan telah meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital tersebut. – Edisi 9

