25.9 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Buli: Memahami, mencegah dan membina perubahan positif

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

GEJALA buli dalam kalangan pelajar sekolah telah menjadi satu masalah yang tidak boleh diabaikan.

Ini bukan sahaja merosakkan kesihatan mental dan fizikal mangsa, malah mewujudkan persekitaran yang tidak konduksif untuk pembelajaran.

Pendekatan yang komprehensif dan langkah konkrit adalah perlu untuk mencegah buli dan mewujudkan sekolah yang lebih selamat.

Walaupun buli dalam kalangan pelajar bukanlah satu fenomena baharu, ia tetap menjadi cabaran utama dalam sistem pendidikan, dan adalah penting bagi komuniti pendidikan mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang apa itu buli dan kesan buruknya terhadap mangsanya.

Kes buli merangkumi pelbagai bentuk seperti buli fizikal, buli verbal, buli sosial, dan buli siber.

Sebarang bentuk buli akan memberi impak yang besar kepada perkembangan emosi dan psikologi mangsa.

Kesan buli yang sangat teruk terhadap mangsa boleh berlarutan sehingga mereka meningkat ke alam dewasa.

Mangsa buli mungkin mengalami masalah psikologi seperti kebimbangan, kemurungan, dan hilang keyakinan diri. Ini juga boleh menjejaskan prestasi akademik dan menyebabkan masalah kesihatan mental yang serius.

Untuk menyelesaikan isu buli, kita perlu mengkaji punca dan faktor pendorong yang menyebabkan tingkah laku ini.

Faktor-faktor seperti tekanan akademik, persekitaran keluarga yang tidak stabil, kekurangan pengawasan guru, ketidakseimbangan kuasa dalam kalangan pelajar, dan kekurangan pemahaman tentang perbezaan individu boleh menyumbang kepada peningkatan kes buli.

Pengaruh media sosial dan tekanan rakan sebaya juga boleh memainkan peranan penting dalam kes buli.

Kita boleh membangunkan kaedah pencegahan yang lebih berkesan dengan memahami punca-punca ini dengan lebih mendalam.

Antara langkah-langkah untuk mengatasi kes buli ialah dengan meningkatkan kesedaran tentang kesan buruk buli dan menggalakkan budaya pencegahan dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa.

Selain itu, program pendidikan perlu mengajar etika, empati, dan pengurusan konflik untuk mengubah persekitaran menjadi lebih penyayang dan prihatin.

Program pendidikan juga perlu melibatkan semua pihak berkepentingan untuk membantu orang ramai memahami kesan buruk buli dan cara untuk mencegahnya.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam mencegah masalah buli.

Ibu bapa perlu selalu menyertai aktiviti sekolah seperti bengkel dan perbincangan untuk mengetahui dan memahami dengan lebih mendalam tentang kehidupan anak-anak mereka di sekolah.

Cara ini juga boleh membina hubungan positif antara rumah dan sekolah selain ibu bapa dapat berkomunikasi dengan lebih terbuka dan selesa dengan anak-anak mereka.

Kemahiran emosi dan sosial juga adalah penting untuk mengatasi dan mencegah buli.

Meningkatkan daya tahan psikososial pelajar adalah penting untuk melindungi mereka daripada kesan buruk buli.

Advertisements

Pihak sekolah perlu membuat program untuk meningkatkan kemahiran sosial, emosi, dan penyelesaian konflik dalam kurikulum sekolah.

Hal ini kerana, ia dapat membantu pelajar untuk mengendalikan tekanan rakan sebaya dengan lebih baik dan dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang lebih positif.

Dengan melibatkan pelajar dalam program kemahiran ini, dapat membantu mereka untuk lebih memahami dan menguruskan emosi mereka dengan lebih baik, serta dapat membina hubungan yang sihat dengan orang lain.

Guru-guru perlu memainkan peranan mereka untuk membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang dapat membantu pelajar untuk berkembang dengan lebih baik.

Selain itu, pemantauan dan penyelidikan yang berterusan dan mendalam terhadap setiap kes buli yang berlaku dapat meningkatkan lagi strategi untuk mencegah berlakunya kes buli dalam kalangan pelajar.

Kumpulan khas boleh ditubuhkan untuk menyiasat kes-kes buli dan memberi bantuan segera kepada mangsa buli.

Guru dan penyelia sekolah juga perlu memainkan peranan mereka dalam mencegah dan mengatasi masalah buli.

Pemantauan yang cekap, sama ada di dalam atau di luar bilik darjah, boleh membantu untuk mengesan tandatanda awal buli dan dapat membantu mangsa buli dengan segera.

Intervensi awal adalah penting untuk mengelakkan kes buli menjadi isu yang lebih serius.

Pihak sekolah juga perlu menyediakan program kaunseling di sekolah untuk membantu memberi sokongan dan bantuan kepada mangsa dan pelaku buli.

Kaunselor yang terlatih adalah penting untuk menyediakan persekitaran yang selamat di mana pelajar boleh berinteraksi dengan selesa, membantu mereka untuk mengenal pasti dan menguruskan emosi mereka dengan stabil, dan menawarkan nasihat tentang cara yang sihat untuk menangani konflik.

Melalui program kaunseling tersebut, pelajar dapat memperoleh kemahiran sosial, terlibat dalam proses penyembuhan dan memahami kesan daripada tindakan mereka.

Selain membantu mangsa buli keluar daripada kitaran buli, program ini juga memberi peluang kepada pelaku untuk mengubah tingkah laku mereka.

Oleh itu, kaunseling menjadi asas untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan menyokong pertumbuhan pelajar secara keseluruhan.

Selain itu, pihak sekolah perlu berusaha untuk mewujudkan budaya yang menggalakkan kepelbagaian, hormat-menghormati, dan penyelesaian konflik secara positif.

Program anti-buli boleh diterapkan sebagai sebahagian daripada budaya sekolah dan ia mesti melibatkan pelajar dalam aktiviti kesedaran dan pencegahan.

Dalam program ini, pelajar boleh membentuk panel, mendapatkan mentor kesihatan emosi, dan melakukan perkara yang membuatkan mereka berasa penting dan bertanggungjawab untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka sendiri.

Kes buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah masalah yang serius dan perlu ditangani dengan segera.

Semua pihak perlu bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, positif, dan mendidik untuk menghentikan dan mencegah masalah buli.

Kita boleh membina masa depan di mana setiap pelajar boleh tumbuh dan berkembang tanpa rasa takut atau benci dengan menggunakan pendekatan yang menyeluruh yang melibatkan semua pihak.

Langkah kecil hari ini boleh memberi kesan yang besar kepada perubahan positif dan kesejahteraan pelajar.

Kita boleh meningkatkan masyarakat pendidikan dengan bekerjasama untuk menghapuskan buli dan memastikan semua pelajar berkembang dengan cemerlang. – Nor Azira Daud (Pelajar USIM) / Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan