27.7 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

22 tahun menanti, Ziana kembali dengan konsert solo

Mesti Baca

TEMPOH 22 tahun adalah waktu yang cukup sesuai bagi seseorang penyanyi mengadakan konsert solo, begitu juga dengan Ziana Zain yang cukup teruja apabila kembali bakal mengadakan konsert solonya pada tahun depan.

Meraikan ulang tahun ke-33 dalam industri muzik, konsert diberi nama Ziana Zain Konsert 2024 itu akan berlangsung pada 25 Mei depan di Mega Stars Arena Kuala Lumpur.

Lebih istimewa, konsert itu dianjurkan dengan kerjasama adiknya, Anuar Zain menerusi Anuar Zain Network Sdn Bhd.

Anuar Zain Network bekerjasama dengan Ziana Zain Network Sdn Bhd manakala Altus ProHouse dilantik sebagai pengurus konsert.

Mengulas perasaannya selepas 22 tahun, Ziana, 55, berkata, ini adalah permintaan peminat yang cuba direalisasikan olehnya.

“Selepas lama tidak mengadakan konsert dan kali terakhir pada 2001, saya kembali bersama Anuar menerusi konsert yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), tahun lalu.

“Selepas konsert itu, rasa seronok pula untuk kembali di pentas konsert.

“Alhamdulillah, saya dapat tawaran daripada Anuar Zain Network. Saya fikir, apa salahnya saya cuba walaupun selepas itu datang pula tawaran lebih besar bagi menjayakan konsert saya.

“Saya terpaksa tolak kerana mengutamakan yang mana datang dahulu, tambahan pula saya sudah berjanji dengan Anuar.

“Rasa bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan ramai orang yang bagus untuk menjayakan konsert ini. Kita tahu bagaimana cara Anuar bekerja, begitu dengan Jennifer Thompson dan Aubrey Suwito yang terbabit sama,” katanya ketika pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.

Pemilik nama Siti Roziana Zain itu dijangka mendendangkan kira-kira 30 lagu sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung.

Advertisements

Selain Anuar, Ziana Zain Konsert 2024 turut mendapat sentuhan Aubrey sebagai pengarah muzik bersama 16 pemuzik profesional, manakala Jennifer pula bertindak sebagai pengarah konsert.

Mengulas mengenai pemilihan Mei tahun depan sebagai tarikh konsert, Ziana berkata, ia juga sebagai simbolik bulan kelahirannya pada Mei.

“Tahun ini, saya hasilkan single Waktu dan bertanding pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38. Banyak yang saya perlu habiskan satu demi satu.

“Saya fikir, 2024 adalah tahun yang terbaik buat saya mengadakan konsert. Lagipun saya lihat tahun ini, ramai betul penyanyi buat konsert.

“Saya pilih tahun depan kerana perlu buat perancangan yang betul sebab sudah lama tidak mengadakan konsert.

“Ada masa lima bulan dan banyak perkara yang boleh kami sediakan,” katanya.

Berusaha sebaik mungkin memberi hiburan kepada peminat yang membeli tiket, Ziana berharap dalam memberikan kenangan terindah buat penonton yang hadir.

“Saya mahu tinggalkan kenangan berbeza dan ‘memorable’. Saya juga mahu tunjukkan apa yang saya boleh lakukan pada usia ini.

“Setiap konsert dipentaskan mesti ada keistimewaan dan boleh menjadi rujukan pada masa akan datang. Sebab itu, saya sangat berhati-hati dalam mengadakan konsert.

“Apa yang pasti, konsert itu akan melambangkan perjuangan saya dalam dunia seni sepanjang 33 tahun ini.,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan