25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

SPRM diberi tempoh 3 hari nyahbeku akaun Aman Palestin

Mesti Baca

AMAN Palestin Berhad (Aman Palestin) memberi tempoh tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyahbekukan akaun mereka yang dibekukan sejak minggu lalu.

Memetik laporan Berita Harian, peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata sekiranya agensi penguat kuasa itu gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.

“Aman Palestin telah mengutus surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, memberi notis bawah Seksyen 44A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 untuk perintah pembekuan ini dibatalkan dan atau diubah,” katanya pada sidang media, malam tadi.

Muhammad Rafique berkata, Aman Palestin juga menggesa Ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang, supaya membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat.

“Isu derma dan bantuan kepada Palestin adalah isu sejagat. Kerajaan mesti menjelaskan mengapa agensi penguat kuasa bawah kerajaan mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kandungan dalam kenyataan media SPRM bertarikh 23 November lalu, didakwa adalah komplot terancang dan propaganda jahat untuk membunuh karakter Aman Palestin serta ahli Lembaga Pengarahnya.

“Aman Palestin dan ahli-ahli Lembaga Pengarahnya kini disiasat oleh SPRM. Kali pertama SPRM hadir ke premis berdaftar Aman Palestin ialah pada 17 Oktober lalu, dan tiada serbuan atau tangkapan dibuat ketika itu,” katanya.

Beliau mendakwa, penggeledahan dan pembekuan akaun hanya berlaku sehari selepas kenyataan SPRM dikeluarkan pada 23 November lalu.

“Kerjasama baik diberikan oleh Aman Palestin mulai tarikh 17 Oktober hingga sekarang. Semua dokumen yang diminta juga diserahkan salinan masing-masing.

“Hingga kini, Aman Palestin telah mengeluarkan kos membuat salinan dokumen-dokumen berkenaan sebanyak hampir RM12,000,” katanya.

Setakat ini, Muhammad Rafique berkata, Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Sufian Awang Piut, serta lima ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin dan tiga pekerja telah dipanggil ke pejabat SPRM di Putrajaya.

Aman Palestin juga mengesahkan 41 akaun sudah dibekukan oleh SPRM dalam siasatan berkaitan mengikut peruntukan AMLATFAPUAA 2001.

Advertisements

Bagaimanapun, Muhammad Rafique menjelaskan, bukan kesemua 41 akaun itu adalah milik Aman Palestin, sebaliknya termasuk milik rakan strategik Aman Palestin dan akaun-akaun ahli Lembaga Pengarah serta kakitangan.

Beliau menegaskan, SPRM perlu menjawab semua persoalan, termasuk mengapa akaun kutipan dana untuk bantuan kemanusiaan dibekukan.

“Mengapakah tindakan itu diambil hanya sehari selepas Aman Palestin mengumumkan penyaluran wang untuk Kempen Bantuan Musim Sejuk dan ketika gencatan senjata diisytiharkan?

“Bagaimana wang derma, sumbangan rakyat dan individu-individu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram?” katanya.

Muhammad Rafique berkata, rakyat Palestin sedang menanti bantuan kemanusiaan, termasuk daripada masyarakat Malaysia menerusi Aman Palestin.

Sepanjang tempoh 18 tahun bergiat dalam bidang kemanusiaan, beliau berkata, Aman Palestin berjaya mengharumkan Malaysia di mata dunia, malah mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Aman Palestin turut menafikan jongkong emas yang dirampas SPRM, mempunyai kaitan dengan penyelewengan.

Sebaliknya, Muhammad Rafique mendakwa, jongkong emas terbabit adalah suatu bentuk pelaburan dan ia dibenarkan berdasarkan kuasa diberikan ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin.

Beliau berkata, terdapat sejumlah kuasa diberikan kepada ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin, dan kuasa untuk melabur ada dalam pelbagai mekanisme.

“Ia tidak salah. Lagipun, emas itu bernilai dan berharga serta mudah ditukarkan kepada tunai sebelum dihantar kepada mereka yang memerlukan bantuan,” katanya sambil menambah dakwaan berkait penyelewengan itu disifatkan sebagai tidak betul, tidak berintegriti dan berniat jahat.

Aman Palestin turut mendakwa sentiasa melakukan pengauditan dengan dokumennya boleh dilihat dalam laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan