30.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, February 18, 2025

Simpan produk sejuk beku halal bercampur babi, premis diserbu

Mesti Baca

SEBUAH premis mengimport dan memborong makanan sejuk beku, di Sandakan, Sabah, dikesan menyimpan produk halal yang bercampur dengan produk sejuk beku tidak halal.

Perbuatan pemilik premis terbabit terbongkar hasil serbuan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John, berkata serbuan pihaknya mendapati premis terbabit menyimpan daging ayam, itik bercampur daging babi beku dengan berat keseluruhan 864 kilogram (kg).

Katanya, Operasi Bersepadu Halal itu dilaksanakan KPDN Cawangan Sandakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah dan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan.

“Hasil maklumat yang diterima, kita mengatur gerak 11 pegawai terdiri daripada anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Sandakan dan beberapa agensi lain menjalankan Operasi Bersepadu Halal di sebuah premis pengimport dan pemborong produk sejuk beku di Sandakan.

“Serbuan di premis terbabit mendapati ia menyimpan produk halal yang bercampur dengan produk tidak halal, iaitu terdiri daripada daging ayam, itik dan babi.

“Berikutan itu, kita menyita premis terbabit dan merampas semua 864 kg produk sejuk beku dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM17,302,” katanya dalam satu kenyataan.

Advertisements

Azdy berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu akan dilakukan mengikut peruntukan Perintah 3, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Katanya, KPDN cawangan Sandakan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara bersepadu terhadap semua premis pengimport dan pemborong produk sejuk beku bagi memastikan mereka mematuhi peraturan halal.

“Ini bagi memastikan pematuhan peniaga di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dapat diikuti,” katanya.

Katanya, jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan pertama, manakala tidak lebih RM10 juta bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

Pesalah individu pula, katanya boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Manakala denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua dan seterusnya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kepimpinan, pengalaman Siti Fadilah mampu perkasa IRM

KEPIMPINAN dan pengalaman yang dimiliki oleh Siti Fadilah Mohd Hood diyakini mampu memperkasa Islamic Relief Malaysia (IRM) bagi mencapai...

Lagi Artikel Berkaitan