26.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 7, 2024

MCMC ada kuasa ambil tindakan kawal kandungan – Fahmi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai kuasa dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik, mengancam dan berunsur fitnah.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tindakan yang diambil oleh MCMC selaras dengan tanggungjawab di bawah Akta 588.

“Ia bukanlah untuk menyekat kebebasan media tetapi bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan fitnah ataupun maklumat yang kurang tepat, ucapan berbaur kebencian serta melindungi integriti raja berperlembagaan dan institusi demokrasi dengan penghormatan daripada sebarang percubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan,”katanya

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN – Pasir Mas) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Fadhli meminta Menteri menyatakan apakah jaminan kerajaan tidak menyalahgunakan SKMM dalam menyekat kebebasan media dan kebebasan bersuara khususnya kandungan media sosial yang menegur kerajaan kerana ianya nyata bercanggah dengan prinsip demokrasi dan janji
manifesto Pakatan Harapan pada PRU 15.

Fahmi berkata, kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media serta menjamin hak kebebasan bersuara rakyat menurut Fasal 1(a), Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun kebebasan bersuara tidak membawa maksud seseorang individu boleh membuat tohmahan, fitnah, mengeluarkan kata-kata kesat atau kebencian terhadap institusi raja mahupun memperlekehkan agama atau berbaur perkauman.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, MCMC menjalankan tanggungjawab dan fungsi – fungsinya berdasarkan peruntukan di bawah
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Salah satu tanggungjawab perundangan utama MCMC adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang pelakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis Malaysia,”katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengamal media serta saluran berita dinasihatkan untuk merujuk kepada Kod Kandungan yang memberi panduan jelas berhubung standard kandungan yang selaras dengan Akta 588.

“Dengan mematuhi Kod Kandungan, pengamal media dapat memastikan pelaporan yang
bertanggungjawab selain mengelakkan daripada melangkaui batas kebebasan bersuara.

Advertisements

“Garis panduan yang digariskan dalam Kod Kandungan menggalakkan pendekatan bertanggungjawab dalam peruntukan kandungan dan prosedur kawalan kendiri.

“Pendekatan ini bertujuan untuk memupuk kreativiti, inovasi, dan pertumbuhan sihat dalam industri.

“Dengan mengikuti garis panduan tersebut, saluran-saluran berita boleh menyumbang kepada suatu wacana yang lebih seimbang dan termaklum, bebas daripada sebarang manipulasi dan maklumat yang kurang tepat.

“MCMC turut mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa sesi dialog dan libat urus bersama organisasi media bagi membincangkan isu- isu yang berbangkit.

“Inisiatif-inisiatif ini dilaksanakan secara berterusan sebagai suatu langkah inklusif agar secara bersama dapat diwujudkan persekitaran digital yang lebih positif, harmoni, dan kondusif untuk semua.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa kebebasan media akan terus dipertahankan dan pendirian itu kekal seperti mana yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,”katanya.

Selain itu, katanya, sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan hari ini, tiada seorang pun wartawan atau pihak media ditahan oleh pihak polis, dan tidak ada satu akhbar atau syarikat media pun yang ditutup.

“Sebagai komitmen dan sokongan kerajaan untuk terus meningkatkan kebebasan media di negara ini serta membantu pengamal media menangani cabaran yang dihadapi, kerajaan secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) sebagai sebuah badan kawal selia kendiri melalui akta yang berkaitan.

“Cadangan penubuhan MMM mengambil kira peranan Majlis tersebut untuk mempertahankan kebebasan media di negara ini dalam menyampaikan maklumat.

“Sehingga kini, sebanyak lapan mesyuarat telah diadakan bersama Protem. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan