28.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

KKM siap sedia hadapi musim tengkujuh – Radzi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiap sedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula Sabtu ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pihaknya juga akan meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa-mangsa banjir serta mencegah penularan penyakit berjangkit yang boleh berlaku semasa banjir.

Menurut beliau, kementerian juga mengadakan beberapa siri mesyuarat kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir dengan semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Kesiapsiagaan yang diambil bagi menghadapi banjir termasuk memastikan anggota dan pasukan sentiasa bersedia bagi menghadapi bencana banjir dan memastikan keperluan air bersih, logistik, ubatan, peralatan, komunikasi dan lain-lain bagi kelangsungan perkhidmatan kesihatan semasa bencana.

“Selain itu, mengemas kini senarai fasiliti kesihatan berisiko banjir dan fasiliti alternatif untuk beroperasi bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan kesihatan semasa banjir dan meningkatkan aktiviti komunikasi risiko bagi mencegah risiko penyakit berjangkit semasa banjir.

“Seterusnya, memastikan golongan berisiko tinggi seperti kes antenatal dan penyakit kronik yang memerlukan rawatan kritikal dikenal pasti dan dipindahkan awal bagi mengelakkan terputus rawatan dan memastikan pesakit kronik diberikan bekalan ubat yang mencukupi bagi mengelakkan terputus bekalan semasa banjir,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Radzi berkata, kementerian juga mengenal pasti pusat rawatan hemodialisis alternatif sekiranya pusat hemodialisis hospital atau pusat asal pesakit terjejas bagi memastikan kelangsungan rawatan.

Advertisements

Katanya, kementerian juga memastikan aset dan peralatan di fasiliti berisiko banjir ditempatkan di lokasi yang selamat bagi mengelakkan kerosakan dan kerugian.

“Memastikan semua sistem sokongan hospital, bekalan gas, perubatan, bekalan darah, peralatan pakai buang, bekalan bahan mentah, makanan kering berada dalam fungsi yang baik dan mencukupi, memastikan stok ubat-ubatan untuk pencegahan dan rawatan penyakit bawaan air dan makanan semasa banjir mencukupi bagi kegunaan anggota penyelamat dan mangsa banjir,”katanya.

Sementara itu, beliau menambah, antara pasukan yang terlibat bagi menghadapi bencana banjir adalah pasukan perubatan yang berperanan melawat dan memberi rawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Selain itu, pasukan kesihatan bagi melakukan pemantauan, pencegahan, dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS dan pasukan Mental Health and Psychosocial Support Services (MHPSS) bagi memberikan dan menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas.

“Pasukan Rapid Assessment Team (RAT) dan Rapid Response Team (RRT) bertanggungjawab membuat penilaian dan memberi respon bagi mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir,”katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kementerian menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan yang berisiko banjir supaya sentiasa bersedia dan berwaspada serta mematuhi arahan-arahan pihak yang berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah awal. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan