MANGSA gangguan seksual diminta untuk tidak malu melaporkan kejadian kepada polis bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pelaku.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan berkata, langkah itu juga perlu bagi memastikan mangsa tidak lagi menjadi trauma dan terus menjadi sasaran.
Pada masa yang sama, beliau menasihati semua pihak agar lebih berwaspada kerana isu gangguan seksual terjadi tidak mengira usia dan jantina.
“Gangguan seksual bukan sahaja terjadi kepada golongan wanita akan tetapi lelaki juga tidak terlepas dari menjadi mangsa kepada jenayah ini.
“Jangan takut atau malu untuk membuat laporan polis jika terjadinya gangguan seksual kerana perkara tersebut boleh menyebabkan mangsa mengalami trauma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Kesedaran Gangguan Seksual anjuran Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Perkep Negeri Sembilan, DSP Datin Erny Yusnida Che Yusoff berkata, program diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual dalam kalangan kakitangan dan pelajar institusi pengajian tinggi.
“Melalui perkongsian informasi berguna dari sudut perundangan diharap dapat membuka mata dan minda peserta yang hadir untuk lebih cakna dan peka dengan kejadian serta tindakan yang sewajarnya diambil apabila berhadapan dengan kes gangguan seksual di persekitaran mereka,” katanya.
Program tersebut turut disertai para pelajar USIM, Universiti Teknologi MARA Kampus Seremban, INTI International University Nilai, dan MANIPAL International University. – Nursyakirah Azmi (Pelajar USIM) / Edisi 9