25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Malaysia cari pasaran baharu lada di Eropah, Skandinavia

Mesti Baca

MALAYSIA mencari peluang pasaran baharu lada di Eropah dan Skandinavia dalam usaha meningkatkan eksport komoditi itu pada masa depan.

Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam kenyataan berkata, sehingga Ogos lalu, Malaysia telah mencatatkan prestasi eksport lada sebanyak RM96 juta.

Menurutnya, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan Taiwan adalah negara-negara yang mengimport lada dari negara ini.

“Malaysia merupakan pengeluar kelima terbesar dengan 32,724 tan selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia seperti yang dilaporkan pada tahun 2022.

“Sehingga hari ini, terdapat kira-kira 38,587 pekebun kecil lada dengan keluasan tanaman 8,091 hektar di Malaysia,” kata kementerian hari ini.

Bagaimanapun, komoditi lada berdepan dengan pasaran global yang tidak seimbang antara bekalan dan permintaan yang memberi tekanan kepada harga dan penanaman lada.

Kata kementerian, situasi tersebut menyebabkan tekanan kepada pihak berkepentingan dalam industri lada, terutamanya kepada pekebun lada.

“Golongan tersebut berhadapan dengan peningkatan kos pengeluaran dan harga jualan yang rendah,” katanya.

Advertisements

Kenyataan itu dikeluarkan sempena perasmian Mesyuarat Tahunan Komuniti Lada Antarabangsa dan Pameran Rempah Antarabangsa (IPC ASM ISE) Ke-51 di Kuching, Sarawak oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof.

Justeru, kata kementerian, adalah penting bagi IPC untuk terus memantau penawaran dan permintaan lada, dengan mengambil kira pengaruh langsungnya terhadap paras harga.

Katanya, negara pengeluar lada juga harus menumpukan usaha konkrit dan bersepadu untuk menguruskan bekalan, menstabilkan harga dan meningkatkan penggunaan.

“Kerjasama semua pihak dalam sektor lada juga wajar terus diperkasa secara berterusan untuk memperhebat promosi dan kempen yang bertujuan memperluas potensi lada, di dalam dan luar negara,” katanya.

Untuk rekod, IPC ialah sebuah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1972 di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP).

Matlamat utama IPC adalah untuk mempromosikan dan menyelaraskan aktiviti dalam industri lada dengan tujuan ke arah pembangunan lada.

Negara anggota terdiri daripada India, Indonesia, Malaysia, Sri Lanka dan Vietnam manakala Papua New Guinea dan Filipina merupakan ahli bersekutu.

Sehingga tahun 2022, negara anggota IPC secara kolektif telah menyumbang kira-kira 65 peratus daripada pengeluaran lada global. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Jangan terjebak perjudian perhubungan cinta ekspres

Oleh DR NORSAFATUL AZNIN A. RAZAK DALAM era moden yang serba pantas ini, hubungan percintaan sering kali terbentuk dengan begitu...

Lagi Artikel Berkaitan