28.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 13, 2024

Kerana obes, seorang lelaki dibebaskan daripada penjara

Mesti Baca

SEORANG banduan yang mengalami masalah obesiti dengan memiliki berat badan 199.6 kilogram (kg) dibebaskan dari penjara di Turin, Itali, berikutan keputusan mahkamah bahawa diet tinggi kalori yang disajikan di penjara itu boleh membunuhnya.

New York Post melaporkan Dimitri Fricano, 35, dari Biella, Itali, baru sahaja kira-kira setahun menjalani hukuman penjara kerana disabitkan bersalah membunuh teman wanitanya Erika Preti, 25, kerana menikam dan menyembelih mangsa.

Jenayah itu berlaku semasa pasangan itu bercuti di Sardinia pada 2017, apabila Fricano menikam Preti sebanyak 57 kali selepas menegurnya kerana meninggalkan terlalu banyak serpihan roti di katil di bilik hotel penginapan mereka.

Berat badan Fricano mencecah kira-kira 118 kg pada 2019 semasa dia dijatuhi hukuman 30 tahun penjara atas kesalahan bunuh.

Tetapi hukuman dilewatkan berikutan pandemik Covid-19 dan dia hanya mula menjalani hukuman penjara bermula April 2022.

Sepanjang tahun lalu, berat banduan lelaki itu meningkat kepada lebih 199.6 kg menyebabkan Mahkamah Pengawasan Turin membebaskan Fricano dari penjara, atas alasan perubatan.

Mahkamah memutuskan minggu lalu bahawa dia tidak boleh lagi berada beramai-ramai dengan banduan lain di penjara kerana dia “tidak serasi dengan rejim penjara” disebabkan mempunyai berat badan berlebihan yang menyukarkan dia untuk bergerak tanpa kerusi roda atau tongkat.

Hakim berkata, pemenjaraan Fricano juga meletakkan nyawanya dalam risiko kerana pegawai penjara tidak dapat menyediakan diet rendah kalori yang diperlukan untuk mengurangkan berat badan lelaki itu.

Fricano akan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah di rumah ibu bapanya berhampiran Milan, di mana dia boleh mendapatkan akses kepada diet yang sihat.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan keluarga mangsa, yang menyelar keputusan untuk membebaskan Fricano sebagai “memalukan.”

Advertisements

“Tiada siapa yang akan memberikan saya kembali anak perempuan saya. Tetapi bagi kami, kesakitan masih terlalu kuat untuk dia dibebaskan secepat ini.

“Berita ini seperti kami menerima tikaman ke jantung,” kata bapa Preti, Fabrizio Preti, kepada akhbar Itali Corriere della Sera.

Fricano dan Preti bercuti di bandar San Teodoro di pulau Sardinia pada Jun 2017 apabila mereka bertengkar mengenai tabiat pemakanannya.

Fricano mendakwa bahawa Erika memukulnya dengan pemberat kertas dan sebagai reaksi, mendorong Fricano mengambil pisau lalu menjunamkan pisau ke badan teman wanitanya, berpuluh-puluh kali.

Pada mulanya, lelaki itu mendakwa mereka dirompak dan perompak yang membunuh teman wanitanya itu, tetapi akhirnya dia mengakui kesalahannya.

“Dia menghina saya kerana roti itu dan kemudian memukul kepala saya, jadi saya membunuhnya,” Fricano dipetik sebagai memberitahu polis.

Peguam pembela Fricano berkata, dia mengalami beberapa keadaan perubatan, termasuk sindrom bulimia kemurungan kebimbangan, gangguan personaliti dan apnea tidur.

Doktor berkata, Fricano berisiko tinggi untuk penyakit kardiovaskular dan perlu mengikuti diet khas yang tidak dapat disediakan oleh penjara di Turin.

Hakim Mahkamah Pengawasan Turin bersetuju menyimpulkan bahawa Fricano “memerlukan bantuan yang tidak boleh diberikan dalam institusi penjara,”. -Agensi

Advertisements

Terkini

SU Politik PM kecewa Malindo Air tutup pintu pelepasan lebih awal

SETIAUSAHA Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kecewa apabila pesawat Malindo Air yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan