27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

KDNK suku tahun ketiga 3.3 peratus

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini meningkat 3.3 peratus menjadikan pertumbuhan dalam tempoh sembilan bulan pertama sebanyak 3.9 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ekonomi negara pada suku ketiga tahun ini telah dipacu oleh permintaan domestik, manakala keadaan global kekal lemah dan tidak menentu.

Katanya, angka itu selaras dengan unjuran Kerajaan iaitu sekitar empat peratus bagi 2023.

“Permintaan domestik yang dinamik mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Madani untuk memulihkan kerancakan ekonomi Malaysia.

“Pembaharuan fiskal pada peringkat awal yang dilaksanakan kerajaan telah menjana penjimatan dan hasil lebih tinggi yang diagihkan semula kepada rakyat secara langsung atau tidak langsung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, permintaan domestik melonjak sebanyak 4.8 peratus pada suku ketiga tahun ini dengan pasaran buruh yang berdaya tahan dan disokong sektor pelancongan yang bertambah kukuh.

Advertisements

Jelas beliau, dari segi penawaran, pertumbuhan ekonomi didorong oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan (lima peratus), pertanian (0.8 peratus) dan pembinaan (7.2 peratus).

“Walau bagaimanapun, pertumbuhan tersebut berhadapan dengan penguncupan kecil dalam sektor pembuatan (0.1 peratus) dan perlombongan dan pengkuarian (0.1 peratus).

“Sementara itu, jumlah dagangan menyusut sebanyak 15.7 peratus kepada RM653.3 bilion,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, pasaran buruh terus bertambah baik dengan kadar pengangguran berkurang kepada 3.4 peratus iaitu pengurangan bilangan penganggur sebanyak 1.4 peratus berbanding suku sebelumnya.

“Inflasi turut menyederhana kepada dua peratus berbanding 2.8 peratus pada suku kedua tahun ini yang disokong subsidi kepenggunaan kerajaan untuk mengimbangi kenaikan harga perkhidmatan dan makanan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan