24.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Johor kenal pasti 874 ‘hotspot’ banjir

Mesti Baca

KERAJAAN Johor sudah mengenal pasti sebanyak 874 ‘hotspot’ banjir di seluruh negeri mereka.

Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa supaya berfungsi dengan baik serta dalam keadaan siap siaga terutamanya apabila berlaku banjir.

Katanya, menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan Pencemaran Sungai di Negeri Johor, terdapat beberapa pelan tindakan dibincangkan bagi menghadapi MTL serta langkah mitigasi terperinci jika banjir mula melanda.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) boleh memberi amaran tiga hari sebelum hujan lebat yang berterusan di daerah masing-masing.

“Oleh itu, setiap pegawai daerah sudah diminta membuat Mesyuarat Penyelarasan Bencana dalam tempoh 24 jam selepas mendapat amaran berkenaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam tadi.

Advertisements

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya diadakan program gotong-royong membersihkan saliran, longkang dan parit di setiap daerah dan kampung, terutamanya di tempat yang kerap berlaku banjir kerana ia mampu mengurangkan risiko air naik secara mendadak.

Menurutnya, MetMalaysia mengeluarkan kenyataan bahawa MTL 2023/2024 dijangka bermula pada esok dan berterusan hingga Mac 2024.

Sementara itu, mesyuarat turut membincangkan isu pencemaran sungai antaranya di Sungai Tebrau, Sungai Skudai, Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah yang perlu diberi perhatian segera agar masalah terbabit dapat diatasi dengan baik.

“Beberapa langkah sudah diambil, namun saya meminta semua pihak serta seluruh Bangsa Johor untuk sama-sama kita jaga kebersihan sungai kerana kebersihan mencerminkan kehebatan dan mentaliti bangsanya.

“Semoga segala usaha ini membuahkan hasil, supaya seluruh Bangsa Johor mendapat manfaatnya,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan