26 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Felda peruntuk RM5 juta bantu peneroka terkesan banjir

Mesti Baca

KERAJAAN melalui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini memperuntukkan RM5 juta bagi membantu warga peneroka yang terkesan dengan bencana terutamanya banjir pada tahun ini.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, peruntukan itu meliputi perancangan menaik taraf 80 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung 27,000 mangsa di 26 rancangan berisiko tinggi dilanda banjir.

“Kerja-kerja yang dijalankan termasuk pembaikan paip, pemasangan tangki air tambahan, sewaan genenator serta kerja-kerja pembersihan am.

“Kerja menaik taraf ini penting, bagi memberikan keselesaan kepada warga peneroka yang terlibat dengan musibah banjir sepanjang tempoh pemindahan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Felda Siap Siaga 2023 peringkat kebangsaan di Felda Seberang Tayor, Kemaman hari ini.

Ahmad Shabery berkata, Felda turut menyediakan 2,000 unit kit kesiapsiagaan banjir bagi kegunaan sebelum, semasa dan selepas banjir, yang mengandungi antaranya beg kalis air 10 liter, lampu suluh pelbagai guna, selipar getah dan barangan asas kebersihan diri.

Advertisements
Ahmad Shabery Cheek menyerahkan kit bantuan banjir kepada wakil Felda wilayah di Seberang Tayor, Kemaman. – Foto Edisi 9

“Bagi meningkatkan kesiapsiagaan warga Felda menghadapi banjir, kita juga turut menyediakan latihan kepada petugas sukarelawan, terdiri daripada Jawatankuasa Banjir Peringkat Ibu Pejabat, Wilayah dan Rancangan, pengurus dan petugas rancangan serta badan bukan kerajaan (NGO) Felda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Felda telah mengenal pasti 60 kawasan rancangan yang berisiko dilanda banjir kali ini, dengan 26 di antaranya dikelaskan sebagai kerap terkesan banjir.

“…yang perlu diberi perhatian bila tiba musim tengkujuh dan ia perlu digerakkan dengan keperluan kepada koordinasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia pada 6 November mengeluarkan kenyataan monsun timur laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada hari ini dan berterusan hingga Mac depan, dengan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan