26.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 5, 2024

Angkat martabat Mahkamah Syariah, satu Jawatankuasa khas ditubuh

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja dalam usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jawatankuasa itu akan meneliti dan berbincang dengan mufti serta semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan supaya ada peraturan yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Menurutnya, Majlis Raja-Raja juga berminat dan memberi perkenan supaya jawatankuasa itu melakukan kajian dalam meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah terhadap umat Islam dan pada masa sama tidak memberi kesan ke atas golongan bukan Islam.

“Setakat ini nama-nama (individu yang) menganggotai jawatankuasa khas ini sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan prosesnya mereka akan dan mesti berbincang dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Kerajaan Negeri sebelum apa-apa perkara dimuktamadkan.

“Ada kaedah perlu dibincangkan kerana ada negeri agak keras, kurang setuju kalau kita langgar prinsip-prinsip yang disebutkan, namun apa sahaja cadangan jawatankuasa ini nanti, haruslah dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja,” kata beliau pada Waktu-waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) berhubung  pendirian kerajaan terhadap notis petisyen difailkan dua wanita yang dilihat mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 serta usaha kerajaan bagi memastikan undang-undang berkaitan Syariah terus terpelihara.

Advertisements

Anwar berkata, sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung prosiding mencabar perlembagaan oleh dua wanita beragama Islam itu tidak akan menghalang usaha kerajaan untuk terus memperkasa Mahkamah Syariah melalui jawatankuasa yang ditubuhkan.

“Sebab itu kita ada jawatankuasa khas ini, untuk usaha selaraskan pelaksanaan undang-undang, bayangkan kalau negeri diberi ruang sewenang-wenangnya (menggubal undang-undang), semua negeri buat dan atas itu juga nanti semua negeri ada percanggahan,”kata beliau.

Anwar berkata, menerusi jawatankuasa khas itu, sebarang cadangan pindaan dan penambahbaikan Mahkamah Syariah yang dikemukakan akan dimohon untuk mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentangkan di Parlimen.

Perdana Menteri berkata, rakyat harus diberi kefahaman yang betul mengenai kes itu kerana ia bukan berkaitan mencabar undang-undang Syariah, sebaliknya mencabar pertimbangan melibatkan kuasa negeri dalam Perlembagaan.

“Ada persepsi sebahagian umat Islam ini (petisyen oleh dua wanita) mencabar Syariah, kerana orang politik tunggang agama main isu ini, pada hal isunya bidang kuasa di mana-mana negeri boleh buat undang-undang, jadi jangan guna ruang ini untuk panaskan suhu politk dan sebar kebencian kononnya PM (Perdana Menteri) tak peduli hal Syariah Islam,”kata beliau.-BERNAMA

Advertisements

Terkini

USANITA pilih Awal Ashaari sebagai wajah untuk 2024

ATAS komitmen terbaik yang diberikan dalam memberikan kerjasama terhadap pelbagai program yang dijayakan oleh Usanita Sdn Bhd (USANITA), pelakon...

Lagi Artikel Berkaitan