SEDANG leka menangkap ikan di zon larangan, sebuah bot nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menerusi operasi yang dijalankan di perairan Langkawi.
Penahanan ke atas bot nelayan tempatan Kelas C itu dibuat pada kedudukan kira-kira 8 batu nautika barat Tanjung Cincin sekitar jam 3 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Romli bin Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Ol Tiris di perairan Langkawi.
“Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru yang kesemuanya warga Thailand dalam lingkungan umur antara 26 hingga 51 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda (tarik tepi).
“Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1,000 kilogram telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti itu dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak lima belas batu nautika daripada pantai.
“Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta sumber pendapatan nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan itu.
“Justeru Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen,”katanya.
Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999 untuk tindakan segera. – Edisi 9