KERAJAAN akan memperkasakan semula Rukun Tetangga untuk menjadi penggerak ke arah masyarakat progresif dan pengurusan isu-isu perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif pemerkasaan Rukun Tetangga akan memperkukuhkan lagi peranannya dalam komuniti sebagai penggerak utama dan penghubung jalin.
Menurut beliau, ini dapat dicapai menerusi peningkatan keupayaan dan struktur pentadbirannya yang kukuh serta jaringan kerjasama strategik denga semua pihak.
“Melalui pemerkasaan ini, KRT (Kawasan Rukun Tetangga) diperluaskan peranannya meliputi lapan bidang iaitu keselamatan komuniti, kepimpinan, pendidikan sepanjang hayat, ekonomi dan sara hidup, daya cipta, alam sekitar, kesejahteraan komuniti serta warisan dan budaya.
“Usaha-usaha yang dibincangkan ini adalah bermatlamat ke arah pencapaian pembudayaan masyarakat Madani yang menjadi aspirasi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan bersama Menteri Perpaduan Sabah dan Sarawak serta Exco-exco Perpaduan Negeri (Mexunity) di Putrajaya, semalam.
Mexunity yang ditubuhkan pada 2020 dianggotai oleh barisan Exco Perpaduan Negeri dan Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam sebagai platform bagi pengukuhan perpaduan termasuk aspek perancangan dan pelaksanaan programdi peringkat negeri.
Sementara itu Aaron Ago berharap agar semua barisan Exco terus menyokong pelaksanaan program-program mengikut kerangka perpaduan yang dibangunkan.
Katanya, ini bagi memperkukuh penyatupaduan masyarakat pelbagai kaum selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan pada masa kini.
“Usaha pemantapan tadbir urus perpaduan terutamanya di peringkat negeri yang melibatkan pentadbiran daerah perlu diperkasakan agar misi perpaduan dapat dibawa secara bersepadu di bawah pucuk pimpinan kerajaan semasa untuk kepentingan rakyat dan negara Malaysia,” katanya. – Edisi 9

