36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

RM50 juta Geran Rukun Tetangga, perkukuh peranan KRT – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN menyediakan Geran Rukun Tetangga sebanyak RM50 juta bagi memperkukuhkan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam komuniti melalui pelaksanaan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agenda berkenaan merangkumi Gerak Kerja KRT Sejahtera, Gerak Kerja KRT Selamat, Gerak Kerja KRT Sihat serta Gerak Kerja KRT Bersih dan Indah.

“Sesuai dengan tema Mendepani Cabaran untuk Kesejahteraan Keluarga Malaysia, pelaksanaan inisiatif berdasarkan isu serta cabaran dalam komuniti menunjukkan KRT perlu sentiasa peka dan prihatin dengan perkembangan semasa, selain sentiasa dekat di hati Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di Kompleks Sukan Komuniti, Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi hari ini.

Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Perdana Menteri berkata, Rukun Tetangga adalah sebuah organisasi sukarela yang ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 1975 sebagai wadah penyatuan masyarakat pelbagai kaum.

“Asal penubuhannya adalah untuk memastikan keamanan dan keselamatan kawasan kediaman yang kini diperluaskan selari dengan perubahan serta cabaran semasa.

“Kini terdapat sebanyak 8,330 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara dan di Johor sahaja terdapat 837 KRT,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan sentiasa mengiktiraf dan menghargai jasa serta pengorbanan sukarelawan Rukun Tetangga yang bertindak sebagai barisan hadapan masyarakat untuk membantu kerajaan memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti.

“Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam mendukung semangat Keluarga Malaysia.

“Ia dilakukan melalui Gerak Kerja Komuniti Rukun Tetangga sehingga
menyemarakkan keprihatinan Rukun Tetangga terhadap masyarakat yang terjejas dengan pelbagai musibah.

“Sebagai contoh, semasa negara berdepan dengan pandemik COVID-19, bantuan kotak makanan dihulurkan kepada warga Rukun Tetangga melalui inisiatif Program Skuad Uniti RT Cares selain keperluan kesihatan yang meliputi kerusi roda, katil perubatan dan keperluan lain yang bersesuaian dengan komuniti terbabit.

“Pada masa sama, Kementerian Perpaduan Negara telah menyediakan hala tuju Rukun Tetangga yang jelas dan komprehensif melalui penyediaan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030.

“Ia secara tidak langsung dapat memberi khidmat yang benar-benar berkualiti dan cemerlang kepada Keluarga Malaysia,”katanya.

Ujar beliau, laporan Indeks Keamanan dan Global 2021 (Global Peace Index 2021) boleh dijadikan penanda aras dalam mengukur tahap perpaduan buat masa kini.

“Malaysia kini berada di tangga ke-23 daripada 163 buah negara paling aman di dunia dan kelima paling aman di Asia selepas New Zealand, Singapura, Jepun dan Australia.

“Saya percaya ramai pernah menjadi ahli Rukun Tetangga. Saya juga pernah menjadi ahli rukun Tetangga di kawasan komuniti saya. Disebabkan itu peranan KRT amat penting bagi memastikan keselamatan komuniti,”katanya.- Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan